Terus menyengat bersama Sang Kenari, ini pro-kontra bintang Nigeria sejak turun beraksi


  • Podium
  • Rabu, 19 Jul 2023

Kehadiran Moses dalam KDA FC menaikkan seri permainan skuad tersebut di atas padang. — Facebook/KDA FC

PUSINGAN kedua Liga Super 2023 menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC berjaya mendaki ke kedudukan ketiga dalam carta apabila berjaya menewaskan Kelantan United FC 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat lalu.

Rekod tersebut menjadikan skuad Sang Kenari berjaya memenangi sebanyak 11 perlawanan daripada 17 pertembungan setakat ini dalam kejohanan domestik itu.

Bukan itu sahaja, aksi pasukan Hijau Kuning itu kini dimeriahkan dengan kehadiran pemain import baharu, Moses Atede Jona untuk bergandingan bersama Manuel Ott di bahagian tengah padang.

Walaupun baru beraksi sebanyak dua perlawanan, pemain berusia 25 tahun itu mula menunjukkan prestasi cemerlang sebagai arkitek tengah skuad Sang Kenari itu.

Persembahan bintang dari Kaduna, Nigeria itu bertambah rancak apabila pengendali KDA FC, Nafuzi Zain menggandingkan bekas pemain import Melaka United, Ifedayo Olusegun yang memainkan peranan penting dalam pasukan dari utara tanah air itu.

Melihat kepada prestasi Moses yang mula mencatatkan peningkatan, ini merupakan beberapa pro-kontra Moses ketika Hijau Kuning setakat ini:

359495692_10231348198195260_1144043044752921905_n

Prestasi yang dipamerkan oleh Moses menentang Kelantan United mula menarik perhatian peminat Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

Pro

1. Bijak membaca permainan

Sepanjang dua penampilan dalam Liga Super musim ini, Moses dilihat mampu mematahkan serangan pihak lawan, sekali gus memaksimumkan peranannya sebagai pemain tengah bagi skuad KDA FC.

Kepintarannya itu dapat dilihat apabila dia kerap memintas bola yang akan melakukan ancaman kepada gawang gol sendiri yang mana cukup penting untuk rekod pertahanan mereka.

Tidak cukup dengan itu, Moses juga kerap melakukan bentesan kepada pemain dalam usaha mendapatkan semula penguasaan bola sebelum menghantar kepada rakan sepasukan untuk serangan balas.

2. Kurang risiko kecederaan

Moses bukan sahaja lincah beraksi di atas padang, namun kelebihan fizikal yang diperolehnya menyebabkan dia jarang berdepan risiko kecederaan dalam perlawanan.

Buktinya, setakat ini dia tidak mempunyai sebarang kecederaan sepanjang kerjayanya dalam arena bola sepak sejak 2021.

Oleh itu, lebih berbaloi jika dia dapat diturunkan dalam kesebelasan utama supaya dapat beraksi lebih lama untuk pasukannya.

356870653_754388566689235_6521814231906191482_n

Walaupun menampilkan persembahan yang baik, Moses mengakui beberapa kelemahan yang memberi kesan kepada prestasi pasukannya. — Facebook/KDA FC

Kontra

1. Dikenakan kad kuning

Dalam perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada awal bulan ini, Moses dilayangkan kad kuning pada minit ke-65 perlawanan selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Sang Saka Biru.

Persembahan tersebut seterusnya membuktikan pemain berkenaan mudah melakukan kesilapan demi untuk merampas semula penguasaan bola daripada pihak lawan.

Malah, pemain tersebut mengakui agak terkejut bercampur teruja dengan tahap kompetetif Liga Malaysia jika hendak dibandingkan pasukan-pasukan yang pernah diwakili sebelum ini.

2. Kurang hantaran progresif

Masih berkisar tentang perlawanan menentang The Cops, Moses kelihatan agak kekok untuk mengawal bola sehingga merugikan rakan sepasukannya.

Selain gagal melakukan hantaran, pemain bertubuh sasa itu dilihat kerap mengambil masa yang lama untuk melakukan hantaran sehingga mudah dicuri oleh pihak lawan.

Keadaan tersebut mengecewakan rata-rata penyokong pasukan Hijau Kuning memandangkan mereka meletakkan harapan tinggi untuk melancarkan serangan balas. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram