TUGASAN berat menanti anak-anak buah Yusri Che Lah dalam saingan Piala Malaysia apabila mereka bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam pusingan pertama.
Sekiranya dilihat pertembungan kedua-dua pasukan musim ini, skuad Sang Kenari mudah menundukkan seteru Utara tanah air mereka itu dengan agregat 7-1.
Tambahan pula, jurang amat besar dapat disaksikan kedua-dua pasukan dalam carta Liga Super dengan KDA FC berada di tangga ketiga sementara Perak FC hanya berada di kedudukan ke-11.
Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong bola sepak tanah air mula berasakan pasukan kendalian Nafuzi Zain mempunyai peluang lebih besar untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Tetapi, pandangan itu tidak dirasakan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) yang masih bercita-cita untuk menempah slot suku akhir dalam pertandingan terbabit.
Kehadiran penyokong ke perlawanan Perak FC tidak pernah mengecewakan.
Pendirian tersebut turut dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang tidak mahu kelab berkenaan mengibar bendera putih terlalu awal.
Ia dapat disaksikan menerusi kenyataan yang sering diberikannya ketika sesi temu bual pasukan dengan mengatakan skuad TBG sudah berwajah baharu ketika ini.
Tidak cukup dengan itu, Bobie sekali lagi menghidupkan suasana dalam kalangan penyokong dengan mengharapkan sambutan ketika perlawanan Piala Malaysia terbabit semakin hangat.
Berdasarkan satu hantaran di akaun Facebook TBG Super Fan, dia memberi mesej bahawa pengikut setia kelab sudah semakin bersedia menjelang aksi terbabit.
Tangkap layar yang dikongsikan Bobie menerusi akaun Facebooknya. — Facebook/TBG Super Fan
"Inspirasi dari siri televisyen, Welcome to Wrexham, The Clappers. Ini adalah atas inisiatif fans Perak FC dari dalam group Telegram dan WhatsApp.
"Memang mula-mula ni sikit je tetapi kita sokonglah usaha-usaha peminat alaf baru Perak FC ini. Semoga akan lebih ramai nanti, insya-ALLAH," tulisnya.
Welcome to Wrexham merupakan satu siri yang diadakan bagi menceritakan kebangkitan kelab kerdil berpangkalan di Wales, Wrexham AFC namun beraksi dalam liga divisyen bawahan England.
Mereka menjadi bahan bualan hangat peminat bola sepak seluruh dunia selepas mengumumkan dua ikon Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney pada 2020.
Skuad TBG bakal berdepan KDA FC pada 3 Ogos dengan perlawanan pertama bakal diadakan di Stadium Ipoh, Perak sementara aksi kedua akan berlangsung di tempat lawan pada 18 Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram