Bintang berdarah kacukan Ireland cuba nasib dengan skuad belia Sang Kenari


  • Podium
  • Ahad, 23 Jul 2023

Adam masih belum menampilkan bakatnya yang terpendam selepas menyertai skuad Sang Kenari pada awal tahun lalu. — Facebook/KDA FC C

TIDAK boleh dinafikan bahawa Kedah Darul Aman (KDA) FC kerap melahirkan bakat-bakat tempatan meskipun tidak memiliki sebuah akademi bola sepak yang canggih.

Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali serta Syafiq Ahmad merupakan antara permata yang berjaya digilap kelab Utara tanah air itu, namun masing-masing sudah mengambil haluan tersendiri ketika ini.

Tetapi, ia tidak mencalarkan reputasi pasukan belia mereka apabila masih terdapat beberapa graduan yang kekal menyumbang khidmat dengan skuad Sang Kenari ketika ini.

Penyerang sayap, Fayadh Zulkifli Amin serta pemain tengah, Amirul Hisyam Awang Kechik merupakan antara yang masih setia dengan sumbangan masing-masing terus ditagih.

Namun, usaha pihak pembangunan kelab seperti tidak berpenghujung memandangkan pasukan belia KDA FC masih berusaha keras untuk menggilap bakat-bakat muda.

Baru-baru ini, terdapat satu lagi perkembangan menarik apabila difahamkan skuad remaja Sang Kenari mula membawa masuk lebih ramai pemain berpotensi.

361842754_765043058960208_6238836366066492193_n

Adam (kiri) dalam sesi latihan skuad Piala Presiden KDA FC. Facebook/KDA FC C

Menurut satu hantaran di laman Instagram Mixed Malaysian, seorang ubi muda berdarah kacukan Ireland-Malaysia disahkan menyertai kem latihan skuad Piala Presiden KDA FC.

Pemain berusia 18 tahun, Adam Shahril dibawa masuk selepas membesar di negara Eropah berkenaan dengan mempunyai pengalaman beraksi di dua akademi belia di sana.

"Adam memulakan karier bola sepaknya ketika berusia 11 tahun bersama akademi Galway United selama lima tahun sebelum beraksi bersama Moyne Villa selama semusim.

"Dan kini, Adam bersama pasukan remaja Kedah dan didaftarkan sebagai pemain tempatan. Selamat maju jaya buat Adam," tulis peminat bola sepak tempatan itu.

Menjengah ke akaun Instagram pemain muda itu, dia difahamkan sudah beraksi dalam skuad belia KDA FC C sejak awal tahun lalu yang kini beraksi dalam Piala Presiden.

Namun, kehadirannya itu masih belum memberikan sebarang impak dengan pemain terbabit jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dengan pasukan terbabit kini berada di tangga ketujuh Liga 1 daripada lapan pasukan yang bertanding. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram