Kesilapan Norazlan Razali, mutu pengadilan hadiahkan satu mata buat skuad TRW


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Skuad TRW pastinya berpuas hati dengan satu mata yang dibawa pulang dari Stadium Negeri, Sarawak. — Facebook/MFL

KUCHING City FC dan Kelantan FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang dikongsi apabila kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 dalam aksi minggu ke-17 Liga Super.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak pada Jumaat, skuad The Red Warriors (TRW) berada di hadapan seawal minit keempat menerusi satu rembatan jarak jauh daripada kapten pasukan, Hafizan Ghazali.

Meskipun terdapat percubaan bertali-arus dibuat tuan rumah, nasib jelas berpihak kepada Kelantan FC dengan skuad The Cats bergelut untuk mendapatkan sebarang gol.

Namun, penantian itu terhenti pada minit ke-58 apabila penyerang berbisa Kuching City FC, Abu Kamara menjaringkan gol penyamaan hasil hantaran leret rakan sepasukan.

Usaha anak-anak buah Firdaus Morshidi sekali lagi membuahkan hasil apabila mereka mendapatkan gol kedua menerusi penalti Abu Kamara 10 minit kemudian.

Jaringan tersebut seolah-olah menandakan kemenangan kedua buat mereka dengan pasukan pelawat seperti buntu untuk mencari gol penyamaan.

358152379_781847740499993_4353270479618802367_n

Norazlan pasti akan dipersalahkan atas kegagalan skuad The Cats untuk membawa tiga mata penuh. Facebook/Kuching City FC

Bagaimanapun, tanpa semena-mena, sepakan percuma Nathaneal Siringoringo pada minit ke-79 mengikat semula kedua-dua pasukan sehingga menggamatkan suasana di stadium terbabit.

Jaringan itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol Kuching City FC, Norazlan Razali yang gagal membaca sepakan perlahan daripada penyerang sayap kelahiran Indonesia itu.

Insiden terbabit jelas mengakibatkan pemain berusia 37 tahun tersebut cukup kecewa apabila dia seolah-olah gagal menyembunyikan kekecewaannya sebaik separuh wisel penamat ditiupkan.

Tetapi, bagi pengikut setia kelab Borneo itu, kesalahan tersebut bukanlah punca sebenar skuad The Cats gagal meraih kemenangan apabila mutu pengadilan turut menjadi persoalan.

Selain terjahan keras dibuat pemain Kelantan FC, terdapat juga momen yang menyaksikan Kuching City FC tidak diberikan layanan terbaik sepanjang 90 minit permainan.

Antaranya adalah apabila pemain skuad TRW didapati menepis bola dengan tangan di dalam kotak penalti, namun tidak disedari pada separuh masa kedua perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, penjaga garisan juga beberapa kali memberikan keputusan ofsaid terhadap Abu Kamara sehingga mengakibatkan gerakan pasukan tidak diterjemahkan kepada jaringan.

Keputusan itu menyebabkan Kelantan FC kekal di dasar carta Liga Super sementara Kuching City FC melonjak satu anak tangga untuk memintas Kelantan United. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram