Dua legenda TRW jadi penanda aras buat Boszam sambar import baharu


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Kelantan FC perlu membawa masuk pemain bintang sementara jendela perpindahan Liga Malaysia jika mereka mahu bangkit daripada kejatuhan yang dialami ketika ini.  — Facebook/TRW

PASUKAN Kelantan FC perlu membawa masuk pemain bintang sementara jendela perpindahan Liga Malaysia masih dibuka jika mereka mahu bangkit daripada kejatuhan yang dialami ketika ini.

Ini kerana, kelab milik Norizam Tukiman mempamerkan prestasi yang kurang cemerlang pada musim ini sehingga menyaksikan mereka terperosok di carta Liga Super.

Pada masa yang sama, kemelut gaji yang tidak berkesudahan melanda pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu menyebabkan ramai pemain berbakatnya 'angkat kaki' dan berpindah ke pasukan lain.

Berbaki beberapa perlawanan pada musim ini, skuad kendalian Alfredo Vera itu perlu melakukan rombakan dalam kalangan pemainnya sepanjang jendela perpindahan kedua ini.

ghaddar1

Mohammed Ghaddar berpisah dengan skuad TRW selepas terdapat salah faham ketika rundingan penyambungan kontrak pada penghujung musim itu. — Agensi

Jika melihat kepada barisan pemainnya setakat ini, Kelantan FC sangat bergantung kepada khidmat pemain import dari Indonesia, Nathanael Siringoringo untuk mendapatkan jaringan atau mencipta peluang.

Sehubungan itu, seorang penyokong, Shahrul Nizam berharap agar pihak pengurusan pasukan itu mengambil pemain persis bintang legenda skuad The Red Warrior (TRW) suatu ketika dahulu.

"Andai kata Kelantan FC bebas sekatan pemain, bolehlah agar Boszam (Norizam) ambil pemain seperti (Mohammed) Ghaddar dan Obina (Nwaneri).

"Tak perlu ambil ramai-ramai import seperti bawa masuk lapan orang seperti dahulu, seorang pun tidak membawa sebarang perubahan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kedua-dua pemain itu dahulu menyertai skuad TRW pada awal dekad yang lalu memandangkan kelab Pantai Timur itu berada di kemuncak bola sepak tanah air.

Namun, kedatangan mereka berjaya memacu pasukan terbabit ke tahap lebih tinggi dengan sumbangan masing-masing cukup penting untuk meraih kejayaan demi kejayaan.

Tetapi, apa yang lebih membanggakan mengenai Obinna dan Ghaddar adalah ketika mereka menjadi pasukan kedua tempatan yang menjulang gelaran treble apabila memenangi tiga piala domestik dalam tempoh semusim.

10247307_604340729657486_2220373505823026310_n

Ghaddar memilih untuk menyertai pasukan Liga Super, Felda United selepas meninggalkan Kelantan FC. —Facebook/TRW

Lebih manis lagi, kedua-dua mereka diturunkan ketua jurulatih, Bojan Hodak dalam pertembungan aksi Piala FA berdepan Sime Darby FC dengan Ghaddar menjaringkan gol kemenangan perlawanan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, penyerang kelahiran Lubnan itu memilih untuk berpisah dengan skuad TRW selepas terdapat salah faham ketika rundingan penyambungan kontrak pada penghujung musim itu.

Perpisahan tersebut pasti cukup pahit untuk ditelan penyokong Kelantan FC memandangkan mereka turut kehilangan beberapa penyerang lain, termasuk Norshahrul Idlan Talaha.

Ghaddar memilih untuk menyertai sebuah lagi pasukan Liga Super, Felda United yang ketika itu boleh dianggap sebagai pencabar utama trofi-trofi di peringkat domestik.

Bagi Obinna pula, dia memilih untuk kekal di Pantai Timur untuk semusim lagi apabila gandingannya dengan beberapa pemain tempatan sudah semakin baik.

Keputusan itu boleh dikatakan tepat buatnya apabila skuad TRW menjulang Piala FA pada musim berikutnya dengan bek tengah kelahiran Nigeria tersebut sekali lagi menjadi nadi utama pasukan.

Selepas dua musim menabur khidmat, Obinna memilih untuk meninggalkan Kelantan FC untuk membolehkan dia menyertai ATM FA dengan usianya sudah semakin lanjut ketika itu.

Tetapi, luka atas kehilangan tersebut segera sembuh buat pengikut setia pasukan apabila pemain berkenaan kembali mewarnai suasana di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan selepas kontraknya tamat dengan Felda United.

Dia sekali lagi meninggalkan kelab terbabit pada penghujung musim 2014 untuk kembali ke Timur Tengah dan menyertai pasukan yang berpangkalan di rantau itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram