Hadi Fayyadh ada sebab pilih PDRM, The Cops buru bekas import Kelantan FC


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Hadi merupakan adik kepada penjaga gol The Cops Aqil Abdul Razak. — Facebook/Perak FC

PENYERANG muda Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak sah menyertai PDRM FC secara pinjaman sehingga akhir musim ini.

Sebelum ini, sudah ada ura-ura yang mengatakan pengurusan The Cops berminat membawa bekas pemain Fagiano Okayama itu.

Kini, perpindahan tersebut disahkan menerusi laman media sosial rasmi Sang Saka Biru pada Khamis.

Malah, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi turut mendedahkan Hadi Fayyadh sudah menyertai latihan pasukan itu yang dikendalikan pemangku jurulatih Eddy Gapil.

Hadi Fayyadh

Fayyadh sudah mula turun berlatih bersama PDRM FC. — Twitter/Fadhirul Shuhaimi

Tapi apa yang menarik ialah penyerang itu bakal bergandingan abangnya iaitu Aqil Abdul Razak yang bermain sebagai penjaga gol PDRM FC.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi maklumat itu di Twitter selepas pemain berusia 23 tahun itu sah diumumkan sebagai penyerang baharu PDRM.

Rekod Hadi bersama Perak FC musim ini tidaklah begitu baik selepas tampil dalam 11 perlawanan namun gagal menjaringkan sebarang gol.

Bekas pemain Frenz United itu pernah mewakili Johor Darul Takzim II sebelum memilih haluan untuk berkelana ke luar negara, Jepun.

Selain Fagiano Okayama, Hadi pernah dipinjamkan ke pasukan divisyen ketiga Liga Jepun iaitu Azul Claro Numazu namun jarang mendapat peluang turun beraksi selepas mengalami kecederaan.

Dengan jendela perpindahan kedua berakhir pada 1 Ogos ini, PDRM FC dijangka mahu memuktamadkan perjanjian perpindahan membabitkan bekas kapten Kelantan, Mario Arques.

Selain itu, The Cops juga dikhabarkan sudah mengenalpasti beberapa jurulatih tempatan sebagai calon mengisi kedudukan sebagai jurulatih baharu mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram