INDUSTRI bola sepak tanah air sering diwarnai dengan pelbagai karenah bukan sahaja daripada barisan pemain, pihak pengurusan, jurulatih malah penyokong pasukan itu sendiri.
Pastinya Liga Malaysia (Liga-M) termasuk final Piala FA sering menjadi tumpuan para penyokong tempatan kerana berasakan perlawanan antara pasukan tanah air juga setaraf dengan bola sepak luar negara.
Sokongan padu yang diberikan oleh penyokong tanah air sememangnya amat diperlukan sebagai penyuntik semangat barisan pemain bola tempatan mahupun import.
Pada Sabtu malam, finalis Piala FA edisi kali ini, KL City dan Johor Darul Takzim bakal membuat perhitungan bagi menentukan siapa sang juara.
Berikut Majoriti menyenaraikan empat peristiwa final Piala FA sebelum ini yang masih kekal dalam ingatan peminat bola sepak tempatan:
Terengganu muncul juara Piala FA 2011. — Agensi
1) Piala FA 2011
Pertembungan antara pasukan Pantai Timur antara Kelantan-Terengganu pada final Piala FA musim 2011 nyata mencuri tumpuan terutamanya terhadap penyokong Kelantan FC kerana dikatakan perlawanan tersebut sangat sengit berikutan kedua-dua pasukan itu merupakan antara yang terbaik pada musim 2011.
Nurul Azwan Roya meletakkan Kelantan di hadapan ketika permainan berbaki 11 minit sebelum tamat 90 minit permainan dan pastinya ia meranapkan semangat barisan pemain dan penyokong Terengganu FC.
Ketika sebahagian zon tempat duduk penyokong Terengganu mula kosong pada minit akhir permainan kerana mengetahui pasukan mereka sudah tewas, pemain Kelantan FC, Daudsu Jamaluddin tiba-tiba tertampan bola ke gawang sendiri pada minit 90+8 untuk membawa permainan ke masa tambahan.
Pada minit ke-110, Ahmad Nordin Alias menjadi wira dengan menjaringkan gol kemenangan sekali gus merakam satu lagi kebangkitan untuk pasukan Terengganu dalam sejarah Piala FA.
Final Piala FA ketika itu menyaksikan kali terakhir trofi kejohanan seberat 13 kilogram digunakan dan apa yang menarik ialah kapten Terengganu iaitu Marzuki Yusof tidak perlu bantuan rakan sepasukan ketika menjulangnya seperti juara-juara sebelumnya.
Pasukan negara jiran, Singapura Lions XII muncul juara Piala FA 2015. — Agensi
2) Piala FA 2015
Pada musim 2015, pasukan daripada Singapura Lion XII (LionsXII) muncul juara Piala FA buat pertama kali dalam sejarah selepas menewaskan skuad Kelantan FC pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Dalam aksi tersebut, Lions XII berjaya membuka tirai jaringan menerusi Faris Ramli pada minit keenam perlawanan dan mengekalkan keputusan tersebut sehingga aksi separuh masa pertama ditamatkan walaupun diasak oleh barisan pemain The Red Warriors (TRW).
Namun, usaha TRW menampakkan hasil apabila menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi Wan Zack Haikal untuk merancakkan lagi aksi perlawanan akhir tersebut.
Namun begitu, Lions XII muncul juara selepas Sahil Suhaimi menyumbangkan dua gol untuk pasukannya itu menjulang Piala FA 2015.
Menariknya, kemenangan Lions XII itu melakar sejarah apabila buat pertama kalinya trofi Piala FA dibawa keluar dari Malaysia.
3) Piala FA 2020
Perlawanan Final FA pada tahun 2020 terpaksa dibatalkan berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.
Liga Malaysia Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan berprestij itu kerana mengikuti keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan keputusan untuk membatalkan kejohanan Piala FA 2020 tersebut adalah disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19 yang melanda dan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Dua tahun berlalu, pastinya semua penyokong bola sepak tanah air terkesan berikutan masalah yang melanda dunia tersebut terutamanya mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang akibat Covid-19.
Juara bertahan Liga Super, JDT muncul juara Piala FA 2022. — Agensi
4) Piala FA 2022
Penantian Johor Darul Takzim (JDT) untuk menjulang trofi Piala FA berakhir kerana berjaya muncul juara selepas menumpaskan kelab pantai timur, Terengganu FC.
Namun begitu, terdapat isu yang menjadi bualan hangat segelintir penonton selepas melihat ulang siar aksi tersebut mengatakan lontaran ke dalam oleh Fernando Forestieri adalah lebih jauh daripada kawasan bola itu keluar.
Dalam satu hantaran di Facebook Semuanya BOLA Group, seorang penyokong mengatakan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin tidak dapat mengenal pasti kawasan bola tersebut dikeluarkan.
Hantaran itu dibuat bersama sebuah foto yang melihatkan Corbin Ong bersedia untuk melakukan lontaran ketika masih berada berhampiran garisan tengah padang.
Namun, sekiranya diperhatikan ulang tayang dengan lebih tepat, tindakan untuk melakukan lontaran itu adalah tidak melanggar peraturan apabila ia masih tidaklah sejauh mana seperti apa yang dikatakan.
Isu tersebut sememangnya panas kerana penyokong bimbang perkara tersebut bakal terulang kembali menjelang final Piala FA yang menyaksikan skuad Harimau Selatan sekali lagi membuat perhitungan berdepan KL City pada Sabtu malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram