Sah bukan ke Sabah tapi bek kental Harimau Malaya pilih kelab Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Pemain skuad Harimau Malaya, Junior Eldstal berhijrah ke negara jiran. — Instagram/junioreldstal

PEMAIN pertahanan skuad kebangsaan, Junior Eldstal secara rasminya bergelar pemain import baharu dalam saingan Liga 1 Indonesia untuk menyertai kelab Dewa United FC.

Pengumuman rasmi tersebut dibuat menerusi akaun Twitter Dewa United pada Khamis.

Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) yang dipinjamkan ke kelab Thailand PT Prachuap itu sebelum ini mendedahkan bahawa dia mendapat layanan tidak adil di pasukan negara jiran tersebut.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika pemain berusia 31 tahun tersebut dalam misi mencari kelab baharu memandangkan jika dia kembali ke Harimau Selatan, Junior dijangka hanya mamanaskan bangku simpanan kerana persaingan dari pemain berkualiti JDT.

WhatsApp Image 2023-07-21 at 10.50.30

Tangkap layar hantaran tersebut di laman Twitter. — Twitter/dewaunitedfc

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Eldstal bakal menyarungkan jersi The Rhinos pada jendela perpindahan kedua ini untuk membantu barisan pertahanan Sang Badak yang dilihat mudah dirobek oleh pihak lawan.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir sudah memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, Sabah FC masih masih mempercayai barisan pertahanan sedia ada untuk diturunkan dalam baki perlawanan Liga Malaysia dan saingan Piala AFC nanti.

Pemain kacukan Malaysia-Sweden itu sah bergelar pemain Dewa United dan akan beraksi bersama-sama bintang Indonesia lain seperti Egy Maulana Vikri serta Ricky Kambuaya musim ini.

Untuk kedudukan semasa, Dewa United kini berada di tangga kedua liga menerusi dua kemenangan dan satu seri daripada tiga perlawanan dihadapi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram