Selain Sathianathan, ini 4 coach yang turut menyinar sebagai pemain


  • Podium
  • Rabu, 19 Jul 2023

Bukan hanya cemerlang sebagai seorang jurulatih, mendiang Sathianathan juga merupakan seorang pemain yang berdedikasi.

‘HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’.

Demikianlah peribahasa yang boleh digambarkan selepas arena bola sepak tanah air dikejutkan dengan kehilangan bekas pengendali skuad Harimau Malaya, B Sathianathan yang namanya akan dikenang sampai bila-bila terutamanya dalam kalangan pencinta sukan nombor satu itu.

Sathianathan yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 65 tahun itu difahamkan meninggal dunia pada pukul 1.25 tengah hari Isnin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, jurulatih berpengalaman itu terpaksa berehat seketika daripada bola sepak musim lalu bagi menjalani rawatan kesihatan selepas dinasihatkan oleh pegawai perubatan.

Ramai mengenali Sathianathan sebagai seorang pengendali yang cukup disegani kerana pernah membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.21

Sathianathan (empat dari kiri) ketika mewakili malaysia pada Sukan SEA 1983. — Agensi

Di peringkat kebangsaan pula, mendiang pernah menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007 ketika menjadi pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.

Namun selain pernah dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK), bekas pengendali Sarawarak United tersebut turut cemerlang ketika bergelar sebagai pemain.

Pemain tengah menyerang itu pernah bermain dengan NSCRC (Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan), Negeri Sembilan FA dan Melaka FA dan beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad Malaysia yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Sea 1983

Selain Sathianathan, berikut empat lagi pengendali yang cemerlang sebagai ketua jurulatih dan pemain ketika usia muda mereka:

1) Datuk Ong Kim Swee

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.17

Kim Swee mula melatih Sabah pada September 2021. — Facebook/SabahFC

Hanya memerlukan kira-kira setahun setengah mengemudi Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berhasil meletakkan The Rhinos di kedudukan ketiga pada saingan Liga Super musim lepas dan membawa pasukan itu ke Piala AFC tahun ini.

Kim Swee memulakan karier kejurulatihan bersama negeri kelahirannya sebelum berkhidmat bersama Persatuan Bola Sepak (FAM) selama 14 tahun bermula 2007 dengan pelbagai jawatan disandang antaranya ketua jurulatih skuad B-16, skuad B-17, Harimau Muda, skuad B-22 dan skuad kebangsaan.

Antara koleksi kejuaraan diraih sepanjang membimbing pasukan negara adalah juara Piala Belia 2007, juara Liga Perdana 2009, pingat emas Sukan SEA 2011 dan juara Pesta bola Merdeka 2013.

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.19

Kim Swee berjersi 21 ketika bermain untuk Sabah. — Agensi

Bercakap mengenai kerjayanya beliau sebagai seorang pemain, pengendali berusia 52 tahun itu memulakan karier ketika mewakili Melaka pada awal 90-an sebeum mewakili Sarawak dan bermain selama dua musim bermula 1993.

Pada musim 1994 pula, bekas pengarah teknikal FAM itu menyarung jersi Sabah dan membantu Sang Badak memenangi Piala FA pada 1995 dan Juara Liga Malaysia (Liga M) ketika musim 1996.

Di peringkat kebangsaan bersama skuad negara, Kim Swee merupakan salah seorang tonggak Malaysia bagi Sukan Asia 1994, selain pernah bermain untuk Pilihan Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang Flamengo XI pada tahun 1995 yang berakhir dengan seri 1-1.

2) Datuk Zainal Abidin Hassan

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.16

Kelab terakhir dikemudi Zainal adalah Penang FC. — Facebook/PenangFC

Walaupun kini Datuk Zainal Abidin Hassan tidak mengemudi mana-mana pasukan Liga Super namun tidak dapat dinafikan beliau merupakan salah seorang jurulatih terbaik yang pernah dimiliki tanah air.

Buktinya semasa mengendali Pahang pada musim 2006 hingga 2008, Zainal Abidin menghadiahkan kejuaraan Piala FA dan sumbangannya kepada Tok Gajah bersambung dengan sekali lagi membantu pasukan Pantai Timur itu menjuarai Piala FA 2014 dan Piala Malaysia 2014.

Selain sejarah indah bersama Pahang, bekas penyerang kebangsaan itu pernah menyumbang kepakarannya kepada Selangor FC (2016), Melaka United (2018-2021) dan Penang FC bagi musim 2017-2018 dan kembali mengemudi Harimau Kumbang ketika saingan Liga Super 2022-2023.

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.15

Zainal Abidin salah seorang pemain digeruni ketika dahulu. — Agensi

Zainal Abidin dikenali sebagai seorang pemain yang versatile kerana kemampuannya untuk beraksi di pelbagai posisi seperti penyerang dan juga boleh mengemudi jentera pertahanan dengan baik.

Di usia mudanya, Zainal Abidin berpeluang bermain bersama dengan beberapa lagenda Malaysia seperti Datuk Soh Chin Aun, ALLAHyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Santokh Singh ketika menyarung jersi Gergasi Merah.

Beliau yang juga dikenali sebagai seorang legenda Selangor pernah membantu Gergasi memenangi Piala Malaysia dua tahun berturut-turut iaitu ketika musim 1981 dan 1982.

Semasa kerjayanya bersama Malaysia, Zainal Abidin menjaringkan sejumlah 78 gol dalam 180 penampilan untuk Malaysia dan pernah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) ketika skuad kebangsaan tewas 1-0 kepada Thailand bagi aksi final Piala Tiger 1996.

3) Datuk Dollah Salleh

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.12-3

Dollah kini merupakan pengurus pasukan Tok Gajah. — Facebook/SriPahang

Datuk Dollah Salleh cukup sinonim dengan Sri Pahang mahupun sebagai seorang pengendali ataupun pemain dan beliau merupakan individu yang membantu skuad Tok Gajah menamatkan kemarau meraih Piala Malaysia.

Selepas lapan tahun kemarau kejuaraan, Dollah kembali meraih Piala Malaysia bersama Pahang pada tahun 2013 dan selain itu, beliau turut membawa Tok Gajah meraih Piala FA di tahun sama.

Bukan hanya Pahang, Selangor, Selangor MPPJ dan PDRM juga pernah mendapat sentuhan magis Dollah Salleh yang mana beliau membantu pasukan tersebut meraih pelbagai kejuaraan.

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.14

Dollah ketika menyarung jersi Pahang. — Agensi

Memulakan karier bersama Johor pada 1982 namun Dollah lebih dikenali sebaga legenda Pahang berikutan membantu pasukan Pantai Timur itu meraih empat kejuaraan seperti Liga Perdana 1992, Piala Malaysia 1992, Liga Malaysia 1995 dan Piala Sumbangsih di musim 1992 dan 1993.

Johor dan Selangor turut tidak melepaskan peluang untuk menggunakan khidmat Dollah sebagai pemain dan beliau turut mengecapi kejayaan bersama dua pasukan tersebut.

Bersama Malaysia, Dollah yang ditugaskan sebagai penyerang ketika itu berjaya memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara 1989 dan Pesta bola Merdeka pada 1993.

4) Nafuzi Zain

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.12

Nafuzi mula mengemudi Kedah pada awal musim 2023. — Facebook/KDAFC

Nama Nafuzi Zain semakin meningkat naik sebagai pengendali selepas membantu Sang Penyu muncul naib juara Liga Super 2022, naib juara Piala FA 2022, separuh akhir Piala Malaysia 2022 selain membantu pasukan itu beraksi di pentas Piala AFC musim 2023.

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu juga dipilih sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 selepas mengemudi Terengganu FC dengan cemerlangnya pada ketika itu.

Untuk rekod, Nafuzi menewaskan sembilan calon lain dari dalam dan luar negara iaitu; Aidil Sharin Sahak, Akira Higashiyama, Benjamin Mora, Frank Bernhardt, Manzoor Azwira Abd Wahid, Mehmed Durakovic, Michael Feichtenbeiner, Nidzam Adzha Yusoff dan Yusri Che Lah.

WhatsApp Image 2023-07-19 at 00.12.12-2

Nafuzi (kiri) ketika mewakili Kedah. — Agensi

Pada awal tahun itu, Nafuzi kembali ke ke pangkuan Sang Kenari yang mana beliau pernah bergelar pemain pasukan berpangkalan Utara tanah air itu pada 2002 sehingga 2007.

Meskipun nama Nafuzi tidak terlalu terkenal sebagai legenda pemain Kedah namun pengendali berusia 44 tahun itu sebahagian skuad ‘Double Treble’ yang dicipta pada 2007-2008.

Pengendali kelahiran Kelantan itu berada dalam skuad Sang Kenari yang menjulang kejuaraan Liga Super 2006/07, Piala FA 2007 dan Piala Malaysia 2007. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram