Bekas kapten Sarawak hidap ALS meninggal dunia


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Bobby Chua meninggal dunia pada Selasa. — Facebook

LEGENDA bola sepak Sabah dan Sarawak era 90-an, Bobby Chua Abdullah meninggal dunia pada Selasa kira-kira pukul 2.25 petang.

Perkhabaran menyedihkan itu dimaklumkan oleh laman Facebook Sarawak United FC Official.

Jenazah dibawa ke Surau Al Mustafa V19, KKIP Barat Sepanggar dan dikebumikan di Tanah Pengebumian Waqaf Kampung Kota, berhadapan dengan Masjid Kota Tuaran, Sabah.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS) yang menyebabkan dia mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motorik.

129988423_2873482399555552_3738440311247212062_n

Bobby Chua (dua kanan) ketika menerima rawatan pada tahun 2020. — Facebook

Penyakit tersebut menyebabkan kedua-dua tangannya semakin lemah, selain hilang berat badan dan perlu disuap oleh isterinya untuk makan.

Bobby yang memeluk Islam pada 2014, menjadi pemain bola sepak profesional pada 1994 dan bermain untuk pasukan Sabah sehingga 1998 sebelum berhijrah ke Sarawak.

Perpindahannya ke Sarawak pada waktu itu pernah menjadi kontroversi apabila hanya dikenakan yuran RM9.95 oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Selama enam tahun bermain untuk Sarawak iaitu sehingga 2004, Bobby pernah diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan dan menjadi antara pemain skuad Bujang Senang yang menyerlah ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram