Berjuang hingga hujung nyawa bukti cinta Sathianathan kepada bola sepak


  • Podium
  • Rabu, 19 Jul 2023

Kali terakhir Sathianathan terlibat aktif dalam dunia bola sepak adalah ketika menjadi ketua jurulatih Sarawak United.

B. SATHIANATHAN sentiasa menjadi seseorang yang sentiasa dihimpit kontroversi, lantang menyuarakan pendapat tanpa mengira apa jua keadaan walaupun terpaksa mengorbankan kariernya, namun jarang berasa goyah.

Sathia merupakan watak penting dalam bola sepak. Dia juga dikenali sebagai 'Jose Mourinho Malaysia' kerana pandangannya yang ada kalanya tidak masuk akal ketika bercakap dalam sidang media.

Bekas jurulatih bola sepak negara yang meninggal dunia akibat kanser ketika usia 64 tahun pada Selasa itu dilihat sangat rapat dengan pemain-pemain di bawah kendaliannya.

Sathianathan, yang juga presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), mengetuai skuad bawah 23 tahun (B-23) merangkul gelaran kejohanan Merdeka 2007 dan dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya sehingga awal 2009.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu turut membimbing beberapa pasukan tempatan termasuk Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia, Felda United, Selangor dan Sarawak United.

Sebagai jurulatih, dia merupakan seorang yang teliti dan pengurusannya adalah antara yang terbaik dalam dunia bola sepak tempatan.

Satu isu yang paling menarik perhatian ialah pandangan Sathianathan tentang perkauman dan sikap pilih kasih dalam bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun, di sebalik ketegasannya, Sathianathan juga merupakan seorang yang baik hati dan sudah tentu bukan rasis.

Menerusi perkongsian daripada wartawan The Star, T. Avineshwaran mendedahkan bahawa kali pertama bertemu dengan Sathianathan, dia berasa takut dan juga tergagap apabila bertanyakan soalan pertamanya.

Tetapi selepas sidang akhbar itu, dia datang dan berkata, "Avinesh, saya hanya seorang lelaki yang suka bola sepak. Saya tidak rugi dengan apa yang saya katakan dan anda tidak rugi jika perlu bertanya soalan yang sukar."

Sejak kejadian itu, Avinesh begitu menghormati Sathianathan sebagai figura yang berada dalam kancah bola sepak selama lebih 40 tahun.

Selepas sidang media, Sathianathan juga menceritakan tentang zaman mudanya ketika berada di Negeri Sembilan yang mana dia pernah tinggal di sebuah perkampungan Melayu.

“Ia suatu pengalaman yang indah, antara hari-hari terbaik dalam hidup saya.

“Kami hidup harmoni dan saya tidak pernah mendengar mereka menghina warna kulit atau agama saya. Saya bermain bola sepak dengan mereka, makan bersama mereka dan banyak lagi.

"Saya juga pernah menyimpan hasrat mahu berkahwin dengan gadis Melayu," katanya.

Tahun lepas, apabila diumumkan bahawa dia akan keluar dari dunia bola sepak untuk sementara waktu kerana sedang dalam proses rawatan selepas dipercayai menghidapi kanser prostat, Avineshwaran menghantar mesej kepadanya untuk bertanya sama ada semuanya baik-baik saja.

Jawapannya cukup tipikal apabila Sathianathan memberitahu, "Jangan risau, saya akan kembali."

Dia memang kembali sebagai pundit atau penganalisis sukan di Astro Arena. Tetapi di sebalik ulasan hebat di televisyen, jurulatih sedang bertarung melawan penyakitnya dan terpaksa berulang-alik ke hospital.

Kali terakhir tugas adalah bersama Sarawak United dan ia terbukti kurang menyenangkan kerana pihak pengurusan kelab itu masih berhutang gaji dan ada juga bayaran lain.

Mendiang juga terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar beberapa pemain semasa menjadi pengarah teknikal kelab itu.

Bulan lalu, The Star melaporkan kesusahannya, bersama pemain import Taylor Regan dan Sandro Mendonca, yang kesemuanya tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan.

Baru minggu lepas, saya bertanyakan keadaannya. Dia menjawab: "Masih menunggu."

Saya tidak tahu bahawa dia berulang-alik dan berada di hospital, kerana dia masih bersemangat, berdedikasi dan sentiasa bersedia untuk dihubungi. Itulah pejuang Sathianathan.

Kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada bola sepak Malaysia dan kepada Sarawak United, semoga bayarannya akan diselesaikan. — The Star/ T. Avineshwaran

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram