Selangor kena sailang JDT? 3 sebab Azam Azmi lebih baik ke Harimau Selatan


  • Podium
  • Ahad, 16 Jul 2023

Azam Azmi mula menyertai skuad Penyu sebagai pemain belia pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu. — Instagram/AzamAzmi

KHABAR angin perpindahan bek kanan sedang meningkat naik, Azam Azmi Murad masih belum selesai walaupun sebelum ini ejen pemain muda itu sudah mengesahkan bahawa dia akan kekal beraksi di bumi Darul Iman sehingga musim 2025.

Kenyataan daripada ejen Azam Azmi itu dikeluarkan selepas pertahanan kental tersebut dikatakan sedang dipancing Selangor FC namun usaha mereka tidak berbaloi berikutan pemain kelahiran Pulau Pinang berkenaan ingin menyumbang lagi kepakarannya kepada Terengganu FC (TFC).

Selepas Selangor FC, Azam Azmi difahamkan lagi sekali menarik minat sebuah kelab gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) dan perkara tersebut juga disahkan sendiri oleh ejen pemain berusia 22 tahun itu.

“Khabar angin Azam Azmi ke kelab elit masih belum berakhir. Ejen pemain sahkan Azam mendapat tawaran terbaharu dan JDT berikan tawaran terbaik,” memetik daripada kenyataan daripada Palatao Bola.

Walaupun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Azam Azmi mahupun dari majikannya, Terengganu namun perpindahan kapten Bawah 23 tahun (B-23) itu ke Harimau Selatan dijangka memberi manfaat kepada pertahanan kental tersebut.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, keputusan Azam Azmi tidak memilih Selangor dianggap tepat dan Harimau Selatan merupakan destinasi terbaik untuk pemain muda TFC itu;

1) Latihan lebih berkualiti di JDT

WhatsApp Image 2023-07-16 at 00.45.16

Musim ini Azam Azmi tampil dalam 15 perlawanan JDT dan merekodkan dua hantaran bantuan. — Instagram/AzamAzmi

Bila sebut mengenai Harimau Selatan, rekod kemenangan mereka di persada liga akan menjadi topik utama dengan musim ini JDT masih kekal dengan rekod tanpa kalah dan jurang mata sebanyak 51 mata, jauh meninggalkan pasukan di kedudukan kedua iaitu Selangor FC dengan 37 mata.

Selain daripada itu, JDT juga dikenali sebagai pasukan yang memiliki fasiliti latihan terbaik di tanah air dan perkara itu menyebabkan juara bertahan Liga Super tersebut mampu mengekalkan prestasi terbaik mereka untuk bemusim-musim.

Sekiranya Azam Azmi menandatangani kontrak dari Harimau Selatan, tonggak TFC itu akan terdedah dengan latihan berkualiti yang lengkap dengan teknologi dan berintensiti tinggi di setiap sesi latihan mereka.

Latihan berintensiti tinggi membawa manfaat kepada seorang pemain meskipun mereka tidak mempunyai minit permainan dan jarang diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan.

Tidak perlu memandang terlalu jauh, Akhyar Rasid merupakan contoh terbaik untuk menerangkan keadaan walaupun dia hanya beraksi sebagai pemain gantian di JDT namun masih mampu memberi persembahan terbaik bersama skuad kebangsaan.

2) Peluang lebih bersinar di Asia

WhatsApp Image 2023-07-16 at 00.45.15

JDT ketika ACL 2022. — Instagram/JDT

Meskipun Terengganu musim ini beraksi di kejohanan Piala AFC namun pengalaman beraksi di peringkat Liga Juara-juara AFC (ACL) jauh lebih mahal dan perkara itu boleh menjadi tarikan utama untuk Azam Azmi ke JDT.

Musim lepas, skuad Harimau Selatan menjadi juara dalam peringkat kumpulan I dengan kutipan mata sebanyak 13 dalam Liga Juara-Juara AFC.

Namun begitu, pasukan berpangkalan di Selatan tanah air itu nampaknya terpaksa akur pada pusingan ke-16 dengan kekalahan 0-5 ketika menentang Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama, Jepun.

Sekiranya tonggak pertahanan itu ke JDT dan mempamerkan persembahan terbaik, Azam Azmi berpeluang untuk mencipta nama di peringkat Asia.

Seperti Arif Aiman Hanapi, penyerang sayap membantu JDT memenangi empat perlawanan ketika ACL sehingga menarik minat beberapa liga terbesar Asia seperti Liga Jepun dan Liga Korea Selatan.

3) Beri saingan kepada Davies-Syahmi

WhatsApp Image 2023-07-16 at 00.45.14

Davies antara wajah utama Harimau Selatan sejak musim 2020. — Instagram/Davies

Persaingan di kem Harimau Selatan menjadi antara perkara perlu dititikberatkan oleh pemain dan mereka yang memberikan persembahan terbaik ketika sesi latihan akan menjadi kesebelasan utama JDT.

Pengendali JDT, Esteban Solari sebelum ini menyatakan bahawa kesemua pemain perlu memanfaatkan peluang yang ada berikutan ada 30 pemain beratur untuk berebut posisi.

Jika Azam Azmi ke JDT, pemain kebangsaan itu mampu memberi saingan kepada dua lagi bek kanan Harimau Selatan iaitu Matthew Davies dan Syahmi Safari.

Sejak menyertai JDT pada musim 2021, Davies merupakan pilihan utama jurulatih untuk mengisi posisi bek kanan dan kepercayaan tersebut dibalas dengan persembahan yang berkualiti.

Saingan itu sama seperti yang diberikan oleh Afiq Fazail kepada jeneral tengah JDT, Natxo Insa hingga pemain muda itu mampu mencabar tempat tonggak warisan Harimau Selatan tersebut dalam kesebelasan utama Harimau Selatan.

Dengan prestasi semasa yang dipamerkan Azam Azmi ketika ini, pemain muda itu pasti tidak mempunyai masalah untuk merebut tempat Davies sebagai pemain regular. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram