TRW dijangka gagal ulangi kejutan, Sabah FC dan JDT teruskan momentum kemenangan


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Isu dalaman yang melanda Kelantan FC dijangka terus memberikan impak negatif terhadap prestasi pasukan di atas padang. — Facebook/TRWKelantanFC

PERLAWANAN ke-16 Liga Super 2023 pada Sabtu bakal menyaksikan berlangsungnya tiga perlawanan membabitkan enam pasukan.

Antara menarik tumpuan tentunya aksi antara Penang FC menentang Kelantan FC di Stadium Bandaraya George Town, Pulau Pinang.

Ini kerana dalam perlawanan pusingan pertama antara kedua-dua pasukan tersebut, skuad The Red Warrior (TRW) berjaya mencipta kejutan di laman sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan dengan menewaskan Penang FC 2-0.

Sementara itu, pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) pula akan menerima kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, iaitu pasukan yang ditewaskan dengan jaringan besar 7-0 ketika perlawanan pusingan pertama.

Perlawanan ketiga yang berlangsung pada Sabtu pula adalah Sabah FC yang akan beraksi di laman sendiri di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah bagi menentang Kuching City FC.

Dalam aksi pertama antara kedua-dua pasukan pada musim ini, skuad Sang Badak hanya menang tipis 2-1 ketika perlawanan yang berlangsung di gelanggang lawan di Stadium Negeri di Kuching, Sarawak.

Berikut merupakan ramalan daripada tiga wartawan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, Rahmi Jumriati Jono dan Nabil Aiman Nor Azwan:

1. Penang FC vs Kelantan FC

355512251_797043595269630_1136117624038441521_n

Giovane (kiri) kini berada dalam prestasi terbaik apabila merekodkan dua jaringan daripada dua perlawanan terakhir. — Facebook/PenangFC

Zikry — Tonggak serangan Penang FC berada di prestasi terbaik

"Dengan rekod pertahanan Kelantan FC yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan semakin baik, saya menjangkakan Penang FC mencatat kemenangan selesa 3-0.

"Tambahan pula, tonggak penyerang utama Penang FC, Giovane Gomes kini dilihat berada di prestasi terbaik apabila mencatatkan dua jaringan daripada dua perlawanan terakhir yang dilaluinya."

Rahmi — Misi balas dendam

"Anak buah Manzoor Azwira pastinya mahu membalas dendam ekoran kekalahan yang dialami mereka ketika aksi pusingan pertama di Kota Bharu. Pada masa sama, skuad Penang FC juga ada rekod agak baik dalam aksi di laman sendiri dengan catatan empat kemenangan dan dua seri.

"Mereka hanya kalah dua kali di laman sendiri dengan pasukan kelompok teratas liga iaitu Selangor FC dan JDT. Saya menjangkakan Penang menang 4-0 ke atas Kelantan FC dalam perlawanan ini."

Nabil — Isu dalaman

"Kelantan FC masih terus berhadapan isu dalaman. Situasi ini tentunya akan terus memberikan kesan kepada persembahan pemain di atas padang.

"Kelantan juga baru kehilangan beberapa tonggak utamanya dalam jendela musim pertengahan perpindahan seperti Miguel Cifuentes, Ismahil Akinade dan Nurshamil Abd Ghani dan Mario Arques Kelantan dijangka tewas 0-2 di tangan Penang FC."

2. JDT vs Negeri Sembilan FC

1968308

JDT berjaya mencatat kemenangan besar 7-0 ketika menentang Negeri Sembilan FC dalam perlawanan pusingan pertama di stadium Tuanku Abdul Rahman. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Zikry — JDT dijangka rehat pemain utama

"JDT dijangka merehatkan beberapa pemain utamanya sebagai persiapan menjelang aksi final Piala FA yang bakal berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi pada 22 Julai nanti.

"Disebabkan itu, defisit besar 7-0 yang dicatatkan pada perlawanan pusingan pertama dijangka berkurang kepada 5-0 dalam perlawanan esok (Sabtu)."

Rahmi — Pemilihan corak permainan tentukan nasib skuad Jang

"JDT sememangnya dijangka akan meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan ini. Namun, jumlah jaringan bergantung kepada corak permainan yang ditampilkan skuad Jang. Anak buah K Devan boleh merekodkan kekalahan dengan bolos yang sedikit 2-0 sekiranya main dengan corak bertahan.

"Tetapi kalau tetap memilih untuk bermain secara terbuka, JDT dijangka boleh menang dengan jaringan besar antara 6-0 atau 5-0."

Nabil — Percubaan gandingan baharu di bahagian tengah

"Jurulatih JDT, Esteban Solari pastinya akan menggunakan perlawanan ini untuk mencuba beberapa gandingan tengah baharu untuk mencari yang terbaik dalam persediaan menjelang Final Piala FA nanti.

"Antara pemain tengah yang dijangka diberikan peluang untuk beraksi adalah Afiq Fazail dan Natxo Insa. Saya jangka JDT akan menang 5-0."

3. Sabah FC vs Kuching City FC

350055696_242519705086717_5968442396653601799_n

Sabah FC mempunyai rekod cemerlang ketika beraksi di gelanggan sendiri di Stadium Likas, Kota Kinabalu. — Facebook/SabahFC

Zikry — Kehadiran tonggak baharu

"Dengan rekod positif di gelanggang sendiri, Sabah FC dijangka menang dengan jaringan 4-1. Tambahan pula skuad Sang Badak akan mendapat semangat baharu dengan kehadiran tonggak seperti Miguel Cifuentes dan Ramon Machado de Macedo."

Rahmi — Momentum kebangkitan Sabah FC

"Selain kelebihan di gelanggang sendiri, Sabah FC pastinya sedang berada di momentum positif selepas berjaya kembali bangkit mencatatkan kemenangan selesa 4-0 ketika menentang Kelantan United FC.

"Untuk perlawanan ini, saya menjangkakan Sabah FC menang 3-0."

Nabil — Jurang kualiti yang ketara

"Saya menjangkakan Sabah FC mampu mencatatkan kemenangan selesa 3-0. Ini kerana jurang kualiti yang dimiliki pemain skuad Sang Badak sememangnya dilihat agak jauh berbanding Kuching City FC.

"Tambahan pula, Sabah FC mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram