Tujuh tahun lalu, pemain JDT pernah tak 'happy' sistem latihan OKS


  • Podium
  • Rabu, 19 Jul 2023

Safiq Rahim, Aidil Zafuan, S.Kunalan dan Amirul Hadi antara pemain yang bersara dari skuad kebangsaan ketika itu. — Facebook

DATUK Ong Kim Swee kini sedang menikmati masa terbaiknya sebagai ketua jurulatih Sabah FC selepas julung kalinya membawa Sang Badak ke pentas Asia sejak penswastaan kelab itu pada 2020.

Kim Swee sebelum ini membawa Sabah menamatkan kedudukan di tangga ketiga Liga Super musim lalu sekali gus berjaya menempatkan diri dalam slot Piala AFC 2023.

Pusingan kedua Liga Super, Kim Swee pastinya boleh menarik nafas lega buat seketika selepas berjaya mendapatkan peledak baharu, Ramon Machado yang sudah pun mula menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan tempoh hari.

Perjalanan Kim Swee sebagai seorang jurulatih amatlah dihormati oleh pemain-pemain bola sepak negara selepas beliau merupakan individu utama yang mengetengahkan bakat-bakat baharu seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Nor Azam Azih, Dominic Tan dan ramai lagi ke pentas antarabangsa.

Pengendali berusia 52 tahun itu, pernah menewaskan Korea Selatan B-23 yang dibarisi pemain bintang seperti Son Heung-min dalam Sukan Asia 2018.

Bukan sahaja Korea, beberapa gergasi Asia seperti Arab Saudi dan China pernah diikat dan ditewaskan oleh Harimau Muda semasa di bawah kendalian Kim Swee sebelum beliau membimbing Sabah pada 2021.

Kim Swee ketika membimbing Harimau Malaya. Agensi

Bekas pemain pertahanan tengah kebangsaan itu juga pernah diberi tanggungjawab untuk menggalas jawatan sebagai 'caretaker' Harimau Malaya selepas Datuk Dollah Salleh meletakkan jawatan pada 2015.

Namun adakah anda tahu, beberapa pemain kebangsaan pernah mengkritik latihan yang diterapkan oleh Kim Swee ketika membimbing Harimau Malaya.

Menurut laporan The Star bertarikh 19 Julai 2016, Kim Swee terkejut pemain kebangsaan tidak berpuas hati dengan sistem latihannya.

Ia selepas empat pemain Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Safiq Rahim, Mohd Aidil Zafuan Razak, S. Kunalan dan Mohd Amirulhadi Zainal bertindak meninggalkan skuad kebangsaan secara mengejut ketika itu.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mendakwa mereka berhenti dari kem kebangsaan disebabkan kekurangan latihan berintensiti tinggi.

Aidil antara empat pemain yang pernah bersara sebagai pemain kebangsaan. Facebook/FAM

Perkara tersebut sehingga memaksa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika itu meminta penjelasan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun Kim Swee menjelaskan tidak pernah mendapat aduan daripada pemain kebangsaan sejak beliau membimbing Harimau Malaya.

"Tiada pemain yang mengadu kepada saya atau jurulatih mengenai kaedah latihan sejak saya menjadi jurulatih sementara tahun lalu.

"Saya bercakap dengan tujuh pemain senior selepas jelajah Oceania bulan lalu (Jun 2016) tentang bagaimana untuk meningkatkan pasukan kebangsaan.

"Saya mendapat maklum balas yang baik daripada mereka. Tiada siapa yang menyebut untuk berhenti daripada pasukan jadi ia mengejutkan melihat begitu ramai pemain meninggalkan pasukan secara tiba-tiba," kata Kim Swee menerusi laporan The Star. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram