Santokh Singh, Tauke pernah hentam 4 pemain JDT sebab bersara dari skuad kebangsaan


  • Podium
  • Khamis, 20 Jul 2023

Santokh Singh (kiri) dan Chin Ann merupakan dua figura ternama dalam dunia bola sepak negara.

STATUS legenda dua bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh dan Datok Soh Chin Ann sememangnya tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Kelibat masing-masing dalam benteng pertahanan merupakan antara punca skuad Harimau Malaya diangkat sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Asia.

Di samping membantu negara menjulang empat trofi Pestabola Merdeka, gandingan kedua-dua pemain itu juga penting ketika kejayaan kempen Kelayakan Olimpik 1980 Moscow.

Tetapi, pada Julai 2016, nama Santokh Singh dan Chin Aun menjadi bahan bualan hangat selepas secara terbuka mempersoalkan jati diri serta semangat patriotisme pemain negara.

Ia berikutan keputusan kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim serta tiga lagi rakan sepasukannya di Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak, Amirulhadi Zainal serta S Kunalan yang mengumumkan persaraan mereka.

"Lupakan keempat-empat pemain itu, tiada pemain yang tidak boleh digantikan. Tetapi, saya rasa ada sesuatu yang aneh kerana saya rasa ada pihak yang mahu mereka bersara daripada membuat penampilan antarabangsa.

"Apa sahaja yang kesilapan yang dibuat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)? Mereka sedang melakukan yang terbaik untuk pemain, tetapi pemain yang tidak mahu buat yang terbaik," kata Santokh Singh.

Safiq-Rahim-Malaysia

Safiq (kiri) dan Kunalan merupakan antara yang mengumumkan persaraan mereka pada 2016.

Ulasan itu dibuat sebagai nasihat kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan ketika itu, Datuk Ong Kim Swee dalam satu sesi sidang media Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah anjuran IFC.

Jelas bekas kapten Selangor FA itu lagi, tiada guna untuk mana-mana pihak berbincang mengenai keempat-empat pemain itu selain menganggap terdapat calon lain yang lebih baik bagi mengisi kekosongan berkenaan.

"Ketika saya bermain dahulu, kami mempunyai skuad simpanan. Saya, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan mendiang R Aramugam masing-masing bermain untuk Malaysia B sebelum diserap apabila pemain senior bersara.

"Saya juga rasa mereka yang berada dalam skuad utama ketika ini wajar disingkirkan dan digantikan dengan pasukan berbeza. Sekali pun kita tewas 10-0, kita akan menjadi skuad lebih untuk jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Chin Ann mengambil pendekatan lebih selamat untuk berbincang akan perkara terbabit, namun berpendapat ia menjadi satu tanggungjawab buat mana-mana pemain mewakili negara masing-masing sekiranya dipilih.

"Saya tidak mahu menyentuh mengenai empat pemain itu. Kita semua 'Anak Malaysia', jadi menjadi satu tugas untuk kita beraksi setiap kali dipanggil sekiranya kita bermain dengan baik dan bebas daripada kecederaan.

"Tiada siapa boleh menghalang anda daripada menamatkan karier kebangsaan, tetapi nasihat saya, teruskan sekiranya anda masih berkemampuan," kata bekas kapten Melaka FA tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram