'Khabarnya ada lagi nak letak jawatan', Tomislav antara 3 jurulatih dicanang ikut jejak Irfan Bakti


  • Podium
  • Rabu, 19 Jul 2023

Penyokong TFC mendesak pihak pengurusan untuk memecat Tomislav susulan prestasi buruk pasukan. — Facebook/Terengganu FC

KUCHING City FC secara rasmi berpisah dengan jurulatih berpengalaman negara, Irfan Bakti Abu Salim yang menghantar surat peletakan jawatan susulan prestasi buruk The Cats dalam saingan Liga Super musim ini.

Dia merupakan jurulatih yang keenam musim ini meninggalkan pasukan susulan prestasi hambar dalam Liga Super.

Kelantan FC antara pasukan yang memecat dua jurulatih iaitu Choi Moon-sik dan Frank Berndhart dalam tempoh masa yang amat singkat selepas kegagalan mereka mengembalikan prestasi The Red Warriors (TRW).

Kelantan United pula bertindak menurunkan pangkat Thomas Trucha ke skuad B-23 selepas melantik Ailton Silva sebagai pengendali baharu Kijang Hijau.

Dua lagi jurulatih iaitu Datuk Lim Teong Kim dan Azzmi Aziz dipecat dengan mengejut oleh pihak pengurusan meskipun mereka masih mempunyai baki kontrak bersama pasukan yang dikendalikannya.

Screenshot 2023-07-19 at 15-51-54 Flash Sukan (@flashsukan_official) Instagram

Tangkap layar daripada Instagram Flash Sukan.

Namun khabar angin baru mengatakan mungkin akan ada jurulatih ketujuh yang mengikuti jejak langkah Irfan Bakti namun hajatnya sedang disekat pihak pengurusan.

Menurut laporan Flash Sukan di media sosial, jurulatih tersebut berhasrat untuk meletakkan jawatan namun kini sedang berunding tentang gaji.

Tidak dapat dipastikan jurulatih pasukan mana yang mahu meletakkan jawatan, namun jika melihat kepada situasi semasa dan prestasi pasukan tiga individu ini mungkin akan melepaskan kerusi mereka.

Majoriti senaraikan tiga ketua jurulatih yang tidak berada di tahap terbaik serta kecewa dengan sikap pengurusan.

Tomislav dikatakan gagal mengawal bilik persalinan. Facebook/Terengganu FC

1. Tomislav Steinbruckner

Tomislav Steinbruckner namanya tidak asing lagi bagi penyokong di Terengganu kerana sebelum ini dia pernah mengendalikan T-Team selama semusim pada 2014 sebelum kembali ke Croatia.

Musim ini, pengendali berusia 56 tahun itu mempunyai tugas berat untuk kembalikan kepercayaan penyokong selepas Nafuzi Zain cemerlang membawa Terengganu FC (TFC) pada musim lalu.

Di media sosial terdapat desakan daripada penyokong yang mahukan pihak pengurusan memecat Tomislav selepas Terengganu gagal mempamerkan permainan yang terbaik.

Tomislav turut didakwa gagal mengendalikan keharmonian bilik persalinan ia dipercayai selepas kenyataan berkaitan Jordan Mintah tolak mahu mengambil sepakan penalti dalam perlawanan separuh akhir Piala FA.

Manzoor belum mampu mengembalikan prestasi terbaik Penang. Facebook/Penang FC

2. Manzoor Azwira Wahid

Hanya menang satu dalam lima perlawanan terakhir, penyokong Penang FC pastinya tidak gemar dengan keputusan itu selepas pasukan mereka bermula teruk.

Manzoor Azwira bukanlah ketua jurulatih Penang musim ini sehinggalah Chong Yee Fatt terpaksa berehat selepas mengalami kesakitan yang memaksanya berehat panjang.

Meskipun pernah menjadi antara jurulatih terbaik Penang sehingga mendapat pujian penyokong Harimau Kumbang, namun ia sepertinya tidak berlaku pada musim ini.

Penyokong Penang mendesak pihak pengurusan menukar figura berusia 46 tahun itu selepas prestasi hambar dipamerkan skuad kendaliannya.

Devan antara jurulatih prolifik yang ada dalam negara. Facebook/NSFC

3. K. Devan

"Pemain pergi ada, pengganti tiada."

Itulah luahan pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan selepas salah seorang tonggak utamanya, Safuwan Baharuddin meninggalkan pasukan dengan menyertai Selangor FC semasa jendela perpindahan kedua ini.

Devan antara jurulatih prolifik yang ada dalam negara kerana mampu memacu Petaling Jaya FC musim lalu bersaing dengan kelab gergasi tanpa sebarang pemain import.

Ketika ini bersama NSFC, Devan berjaya meletakkan The Jangs di tangga ketujuh Liga Super meskipun menggunakan tiga pemain import.

Dengan pihak pengurusan mengalami kekangan kewangan untuk berbelanja besar namun pada masa sama meletakkan harapan yang tinggi mungkin boleh membuatkan pengendali berusia 55 tahun itu berkecil hati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram