Kogi buat pendedahan pada Khamis, sudah tetap hala tuju ke Penang


  • Podium
  • Rabu, 19 Jul 2023

Kogi yang beraksi di Korea Selatan untuk kelab Chungbuk Cheongju FC. — Instagram/kogiraj1021

PENYERANG sayap skuad kebangsaan, R. Kogileswaran dikhabarkan bakal kembali beraksi mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas membuat penampilan secara sementara di Korea Selatan untuk Chungbuk Cheongju FC.

Kogileswaran atau mesra dengan panggilan Kogi itu difahamkan mengalami detik sukar untuk mendapatkan minit permainan sepanjang bersama Cheongju FC.

Ini kerana, bekas pemain Petaling Jaya City (PJ City) itu hanya tampil dalam satu perlawanan sahaja bersama pasukan divisyen dua Korea Selatan tersebut.

Pemain berusia 24 tahun itu diturunkan menjadi kesebelasan utama ketika penampilan sulung bagi aksi Piala FA Korea pada Mac lalu dan membantu merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Seoul Jungnang FC.

Penampilan sulung tersebut merupakan yang terakhir apabila namanya tidak lagi tersenarai dan hanya memanaskan bangku simpanan pasukan yang berpangkalan di Korea Selatan itu.

WhatsApp Image 2023-07-19 at 14.51.00

Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/kogiraj1021

Oleh itu, dalam satu hantaran di laman Instagram miliknya, kogiraj1021 memaklumkan bahawa satu sidang media akan dilakukan pada 20 Julai 2023 pada pukul 2 petang.

"Press Conference Tommorow! Astro Channel 801 at 2PM," katanya dalam hantaran tersebut.

Berikutan perkara tersebut, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu didakwa akan bermain semula di Liga-M kerana memerlukan lebih banyak minit permainan kerana faktor usianya yang masih muda.

Bagaimanapun, terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa Kogi bakal beraksi bersama pasukan yang berpangkalan di Utara Tanah Air.

Sebelum ini, difahamkan Kogi sudah menerima tawaran lebih awal daripada pasukan Penang FC yang memerlukan penyudah untuk pasukan tersebut.

Melihat kepada keadaan Penang FC yang kini berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas kehilangan penyerang Brazil, Giovane Gomes, ia merupakan satu peluang buat Kogi.

Dalam pada itu, Penang merupakan pilihan tepat kerana pengalaman dan ketajaman Kogi amat diperlukan oleh skuad Harimau Kumbang itu.

Untuk rekod, kali terakhir pemain kebangsaan itu beraksi di Liga Malaysia ketika bersama skuad The Phoenix yang mana pada musim 2022 Kogi diturunkan sebanyak 19 kali dalam aksi Liga Super dan merekodkan dua jaringan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram