Sekadar main sub di Piala MFL, tempo 'soft & slow' import baharu Tok Gajah perlu jadi ikutan Lucas Silva


  • Podium
  • Rabu, 19 Jul 2023

Peminat beranggapan Rafael masih memerlukan masa untuk menyesuaikan dirinya dengan corak permainan skuad terlebih dahulu. — Sri Pahang FC

SRI Pahang FC menaruh sepenuh kepercayaan kepada dua tenaga import baharu mereka, Rafael da Silva Souza dan Richmond Boakye-Yiadom yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan lalu dalam usaha membantu memperkasakan pasukan itu bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Namun begitu, penghijrahan Rafael ketika ini sedang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan penyokong pasukan itu.

Ini kerana, meskipun sudah lebih tiga minggu bersama skuad Tok Gajah, pemain berusia 33 tahun tersebut hanya pernah beraksi dalam satu perlawanan Liga Super, itu pun hanya masuk sebagai pemain gantian dan bermain kurang dari 15 minit.

Terbaharu, dalam perlawanan Malaysian Football League (MFL) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Selasa juga, dia hanya beraksi sebagai pemain gantian pada minit ke-87.

Sedangkan, tujuan utama pemain itu dibawa masuk adalah untuk membantu meningkatkan prestasi Pahang dalam saingan di Liga Super, seterusnya menaikkan kedudukan kelab dalam carta.

Rafael da Silva Souza

Kehadiran Rafael ke Sri Pahang FC diharapkan dapat membantu memperkasakan pasukan itu bagi menghadapi baki saingan Liga Super. — Sri Pahang FC

Namun sebaliknya, penyokong berpandangan kehadiran Rafael dilihat belum dapat mengatasi masalah ketumpulan di bahagian serangan.

Malah, rata-ratanya semakin kecewa melihat prestasi pemain berketinggian 1.82 meter itu yang dikatakan tidak dapat membentuk keserasian dan gandingan mantap terutama di bahagian serangan dan tengah.

Bagaimanapun dalam kekecewaan itu, laman Twitter @TwtBolaPahang tampil menyifatkan tindakan meletakkan Rafael di skuad MFL adalah satu keputusan yang tepat.

Ini kerana ujarnya, pada dua perlawanan awal, dia dilihat masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan skuadnya terlebih dahulu.

"Pada dua perlawanan awal dia tak dapat tunjukkan lagi prestasi dia atas sebab mungkin nak bagi sesuaikan diri dulu di sini. Sebab itu dia masuk sebagai (pemain) gantian sahaja sebelum ni," ciapnya.

Penghijrah Rafael ketika ini sedang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan penyokong pasukan itu. — Sri Pahang FC

Melihat situasi yang menimpa Rafael, laman itu turut berpendapat, barisan kejurulatihan seharusnya melakukan perkara yang sama ke atas penyerang Tok Gajah, Lucas Silva, yang mana dia perlu diletakkan dalam skuad Piala MFL selepas pulih daripada kecederaan.

Ini kerana katanya, pemain kelahiran Brazil itu perlu mendapatkan semula rentak permainan dengan tempo 'slow' dan 'soft' serta diturunkan untuk bermain dalam saingan Piala MFL.

"Bukan terus letak dia dekat skuad Liga Super ketika lawan Kedah pada LS6 (Liga Super).

"Benda ni bukan downgrade pun, sebab inilah fungsi Piala MFL. Bukan sekadar bagi pemain muda lebih minit bermain tapi juga medan untuk pemain dari skuad senior dapatkan rentak dan sesuaikan diri untuk kembali fight tempat dalam skuad Liga Super," jelasnya.

pahang

Skuad Tok Gajah di bawah bimbingan Fandi Ahmad ketika ini menduduki tangga keempat Liga Super. — Sri Pahang FC

Untuk rekod, Lucas hanya bermain empat perlawanan Liga Super pada awal musim menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), PDRM FC, Kelantan United dan Kuching City, dengan tiga kali diturunkan sebagai kesebelasan utama, dan sekali di bangku simpanan.

Ketika ini Pahang hanya mengharapkan pemain kelahiran Liberia, Kpah Sherman sebagai penyerang disebabkan Lucas masih mengalami kecederaan, sementara Rafael masih dalam tempoh menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.

Skuad Tok Gajah di bawah bimbingan Fandi Ahmad ketika ini menduduki tangga keempat Liga Super dengan 10 kemenangan, empat keputusan seri dan tiga kekalahan selepas mengharungi 17 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram