Pemain import akhir Sabah FC bakal kukuhkan kubu pertahanan The Rhinos


  • Podium
  • Khamis, 20 Jul 2023

Barisan pemain Sabah FC meraikan kemenangan ke atas Sri Pahang FC. — Instagram/MFL

SABAH FC menampilkan prestasi memukau selepas menang mudah menumpaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 4-0 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu.

Kemenangan tersebut merupakan penghormatan terakhir buat kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar yang mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Dalam perlawanan tersebut, kesemua pemain The Rhinos seperti memiliki tenaga baharu untuk memberi penutup yang manis kepada jeneral tengah Sabah FC itu.

Bagaimanapun, difahamkan peningkatan prestasi Sabah FC dalam dua perlawanan yang lalu dibantu oleh penyerang import baharu, Ramon Machado de Macedo yang sudah meledak tiga gol peribadinya terus menceriakan kem pasukan The Rhinos.

Ramon Machado, penyerang kelahiran Brazil yang didatangkan dari kelab Gabala FC dalam Liga Azerbaijan, menyerlahkan nilainya sebagai pemain yang dari awal musim dinanti-nantikan Sabah FC untuk menamatkan kebuntuan gol di barisan serangan.

sofiane

Soufiane Chakla ketika beraksi bersama kelab Getafe FC. — Agensi

Bagaimanapun, terdapat desas-desus bahawa Sabah FC bakal menerima satu lagi pemain import yang boleh membantu meningkatkan barisan pertahanan The Rhinos.

Soufiane Chakla antara nama yang disebut-sebut oleh penyokong Sang Badak merupakan salah satu pemain pertahanan yang berpengalaman kerana pernah beraksi di liga gergasi dunia iaitu La Liga bersama pasukan Getafe FC dan Villareal.

Walaupun hanya beraksi sebanyak 14 kali dalam saingan La Liga, namun pengalaman pemain berusia 29 tahun itu sangat berharga kerana pernah beraksi menentang kelab gergasi seperti Barcelona dan Real Madrid.

Pada musim ini, Chakla sudah menandatangani kontrak bersama Sabah FK yang sebelum ini beraksi di SD Ponferradina.

Selain itu juga, melihat kepada statistik, dia mencatatkan empat kali cleansheet dalam 13 perlawanan ketika beraksi bersama SD Ponferradina dan ia merupakan satu prestasi yang memberangsangkan.

Setakat ini, Sabah FC mempunyai lapan pemain import dan satu lagi kekosongan boleh diisi sebelum jendela perpindahan berakhir.

Dengan kehadiran pemain kelahiran Maghribi itu ke Sabah FC, ia sekali gus melengkapkan kuota import serta dilihat mampu memperkukuhkan barisan pertahanan Sang Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram