BARU-BARU ini hangat dibincangkan tentang ura-ura pemindahan penyerang sayap kanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohamad Al-Hafiz Harun kononnya akan dipindahkan ke Penang FC untuk membantu pasukan tersebut mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.
Walaupun khabar angin itu terasa benar, namun pemain kelahiran negeri Jelapang Padi itu menafikan perkara tersebut dan akan terus berkhidmat untuk skuad Sang Kenari buat masa ini.
Untuk rekod, difahamkan pemain berusia 29 tahun itu tidak beraksi selama enam perlawanan, malah kali terakhir dia bermain adalah ketika menentang Perak FC pada 25 Februari lalu.
Ketika ini, Penang FC berada di tangga kesembilan dalam carta Liga Super musim ini dengan mencetak hanya lima kemenangan dan tewas dalam tujuh perlawanan.
Dengan persembahan ditunjukkan oleh skuad Harimau Kumbang yang seolah-olah kehilangan taring itu, tidak hairanlah mereka antara pasukan yang paling banyak menerima khabar angin pemindahan pemain dalam jendela kedua musim ini.
Malah pada Jumaat lalu, skuad Pulau Mutiara itu mengumumkan kehadiran pemain baharu mereka iaitu bekas tembok pertahanan Perak FC, Haziq Puad menyertai pasukan mereka.
Bagaimanapun, dikhabarkan ada tiga lagi pemain lain tidak mustahil dipinjamkan khidmat ke Penang FC bagi membantu dalam pendakian carta Liga Super musim ini.
Reichelt dilihat terpaksa bersaing dengan rakan seperjuangan di posisi sama untuk lebih menyerlah dalam perlawanan. — Facebook/ KL City FC.
Patrick Reichelt
Pemain import Berlin ini baru sahaja menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim ini selepas berkhidmat untuk kelab bola Thailand pada musim lalu.
Namun dia yang bermain sebagai penyerang sayap kiri dalam skuad warga kota itu terpaksa bersaing dengan pemain seperti Sean Giannelli dan Kipré Tchetche.
Oleh itu, pemindahan pemain tersebut untuk berkhidmat dengan skuad Harimau Kumbang itu dilihat wajar supaya dia boleh bermain dengan lebih tenang dalam peranannya.
Mior Dani Armin ketika ini kerap dipindahkan ke kelab-kelab bola sepak lain seolah-olah nasibnya diperjudikan oleh pihak pengurusan TRW. — Facebook/ KDA FC
Mior Dani Armin
Tidak tahu apa puncanya, namun pemain asal Kelantan FC ini pernah dipinjamkan ke pasukan lain seperti Sri Pahang pada musim lalu sebelum kembali berkhidmat dengan The Red Giants semula dalam musim sama.
Namun tidak sampai seperti hanya mampu bertahan selama setengah musim kali ini, ubi muda berumur 24 tahun itu dijangka berdepan pemindahan jendela kedua lagi, namun tidak pasti sama ada ke Penang FC atau kelab lain.
Untuk rekod, arkitek tengah ini bukan sahaja tidak diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Sang Kenari, malah dia juga kerap diletakkan bangku simpanan dan hanya bermain dalam tujuh permainan pada musim ini.
Khuzaimie ketika ini kerap memanaskan bangku pemain simpanan, malah tidak kerap diturunkan bermain dalam kesebelasan utama. — Facebook/ Selangor FC
Khuzaimie Piee
Walaupun pemindahan pemain pertahanan Selangor FC itu ke Penang FC masih belum pasti, namun khabar angin berkenaan perkara tersebut terus bertiup kencang di utara tanah air itu.
Buat masa ini, pemain tinggi lampai 1.8 meter itu hanya menjadi pemain gantian dalam tiga perlawanan dan seterusnya memanaskan bangku simpanan sebanyak tujuh kali aksi pusingan pertama Liga Super musim ini.
Mungkin jika dipindahkan ke skuad Harimau Kumbang itu, pemain kelahiran Melaka itu boleh mendapatkan lebih minit permainan dan dan tidak hanya duduk memerhati dari tepi padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram