Hilang dari radar, fans sepakat gabungan AA42 dan FH7 pulih maruah Liga M


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Pencapaian Faisal Halim (kiri) dan Arif Aiman dilihat tenggelam dalam kalangan pemain import walaupun mereka memaparkan prestasi terbaik sepanjang Liga Super musim ini.

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) menutup separuh pertama musim Liga Super 2023 dengan mengekalkan kemenangan sepanjang aksi kejohanan domestik itu.

Tidak jauh ketinggalan dengan skuad Harimau Selatan, Selangor FC berada di tangga kedua dengan mencetak 11 kemenangan, diikuti dengan Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (9), manakala Sabah FC memenangi tujuh perlawanan sepanjang liga musim tersebut.

Baru-baru ini pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan senarai pemain-pemain penyerang yang menjaringkan gol terbanyak sepanjang Liga Super musim ini.

Menerusi senarai tersebut, penyerang JDT, Fernando Forestieri mendominasi carta dengan jaringan gol tertinggi iaitu sebanyak 15 gol, diikuti rapat oleh penyerang Selangor FC, Ayron de Valle (14) dan penyerang Harimau Selatan, Bergson da Silva serta Sri Pahang, Kpah Sherman yang masing-masing mencetak sembilan jaringan.

Manakala Stefano Brundo dan bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira pula masing-masing menjaringkan lapan gol.

Memandangkan senarai tersebut didominasi oleh pemain-pemain import, para peminat bola sepak tempatan mempersoalkan ke mana hilangnya bakat tempatan.

WhatsApp Image 2023-07-05 at 4.18.30 PM

Pihak MFL mengeluarkan senarai pemain yang menjaringkan gol terbaik pada aksi Liga Super setakat ini. — Facebook/ MFL

Hal itu bukan satu perkara baharu memandangkan takhta penjaring terbanyak Liga Super sering didominasi oleh pemain luar dengan kebolehan mereka kerap dijadikan kunci kepada kejayaan sesebuah pasukan.

Bagaimanapun, setakat separuh musim 2023, beberapa nama tempatan sudah menunjukkan kebolehan mereka untuk bersaing dengan dibuktikan berdasarkan statistik di hadapan pintu gol baik dari segi bantuan jaringan mahupun gol peribadi.

Antaranya seperti penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim yang meledak tujuh gol, sekali gus memintas penyerang sayap JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi dengan lima gol.

Namun gol individu mereka dilihat masih belum dapat menyaingi jaringan import berbisa dalam Liga Malaysia.

"Ini gol dalam liga super sahaja. Jika dimasukkan keseluruhan gol, pasti AA (Arif Aiman) dah ada dalam senarai ini.

"Tapi AA bukan penyerang tulen pun (kerana bermain di posisi sayap). Cuma dia seorang pemain yang sangat efektif di bahagian serangan," kata Mohd Farid Mohamed.

Bagaimanapun, gandingan kedua-dua pemain sayap itu boleh memulihkan kembali maruah Liga Malaysia memandangkan hanya mereka yang mengekal rekod cemerlang pada musim ini

Kedua-dua pemain itu turut menunjukkan prestasi cemerlang semasa menyarung jersi Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Begitu juga Arif Aiman yang menjadi tonggak kemenangan skuad Harimau Selatan dalam Liga Super dan Piala FA.

Dalam pada itu, pemerhati bola sepak tempatan, Muhammad Jay Juhar menginginkan agar pihak MFL melangkah proaktif bagi memastikan bintang tempatan dapat bersinar sama terang dengan pemain import.

"Harap dapat kembalikan penyerang tempatan, MFL kena buat sesuatu demi bola sepak negara. Nanti tak ada dah pepatah ini liga kita tanah tumpah darah kita," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram