Prestasi buruk dalam Liga Super, Kuching City terima peletakan jawatan Irfan Bakti


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Sebahagian aksi The Cats menentang Perak FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak. — Facebook / MFL

KUCHING City FC terpaksa berputih mata selepas ditewaskan oleh pasukan pengunjung, Perak FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak dalam perlawanan ke-17 Liga Super 2023 pada Ahad dengan keputusan 1-2.

Prestasi The Cats yang hanya mencatatkan satu kali kemenangan itu tidak menampakkan sebarang peningkatan selepas berjaya mengutip enam mata dalam 17 perlawanan liga berlangsung.

Rentetan kekalahan berlanjutan kepada 12 perlawanan, difahamkan pengendali The Cats bakal meninggalkan kelab yang berpangkalan di Borneo itu.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 14.15.54 (1)

Tangkap layar daripada ciapan tersebut. — Twitter/fnasrom

Wartawan sukan Astro Arena, Fina Nasrom dalam ciapan Twitternya melaporkan, Irfan Bakti sudah menghantar surat pelepasan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu.

"Ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti bertanggungjawab di atas prestasi pasukan. Sudah menghantar surat pelepasan jawatan kepada pihak pengurusan," katanya dalam hantaran tersebut.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 14.15.54

Tangkap layar daripada hantaran tersebut. — Twitter/Zulhelmizainalazam

Seorang lagi wartawan sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam turut mengesahkan peletakan jawatan tersebut merupakan kali kedua musim ini menerusi satu hantaran di laman Twitter.

"Irfan Bakti resigns. Surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada pihak pengurusan Kuching City seperti yang dilaporkan @fnasrom. Ini kali kedua Irfan Bakti menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai jurulatih Kuching musim ini," katanya dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, hasratnya untuk melepaskan jawatan tersebut tidak diendahkan oleh pihak pengurusan Kuching City dan hanya mahu memandang ke hadapan bersama pasukan yang dibaharui wajahnya dalam pusingan kedua kelak.

Bagaimanapun, keputusan tersebut bergantung kepada pihak pengurusan sama ada ingin melepaskan atau meneruskan khidmat jurulatih tersebut.

Kuching City kekal menghuni tangga ke-13 dalam carta Liga Super 2023.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak pengurusan Kuching City FC menerima surat peletakan jawatan tersebut dengan pihak mereka menghormati keputusan jurulatih yang berusia 72 tahun itu.

Selain Irfan, Penolong Ketua Jurulatih, Sulaiman Husin turut mengikut jejak langkah dengan menyerahkan surat peletakan jawatan.

"Pihak kami menghormati keputusan tersebut dan mengambil kesempatan untuk mengucap setinggi penghargaan kepada mereka berdua atas jasa dan kejayaan yang pernah disumbangkan kepada KCFC," katanya dalam hantaran tersebut.

Namun KUFC sedia berbincang dengan Sulaiman untuk melihat peranan beliau dalam kelab itu, berkemungkinan ditawarkan jawatan Ketua Jurulatih sementara bagi menggantikan Irfan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram