'Terengganu akan berada Top 5 Liga Super', Habib Haroon mahu ubat luka fans Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Sebahagian aksi Terengganu FC menentang PDRM FC di Stadium MBPJ. — Facebook/MFL

PEMAIN tengah Bahrain, Habib Haroon berharap dapat menenangkan peminat Terengganu dengan membantu Sang Penyu menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik Liga Super 2023.

Penyokong pastinya kecewa selepas Terengganu FC sekadar berkongsi satu mata dengan keputusan 0-0 dengan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor FC pada Ahad dan menggesa agar pasukan itu memperbaiki prestasi mereka.

Terengganu kini berada di tangga keenam liga dengan mengutip 25 mata beza lapan mata di belakang Sabah yang menduduki tangga kelima carta.

Melihat kepada kedudukan terkini skuad Sang Penyu, Haroon tekad mahu membantu pasukannya mengharungi saki baki kempen Liga Malaysia musim ini.

“Peminat mahu lebih sama ada perlawanan di laman sendiri atau di tempat lawan, mereka sentiasa ada untuk kami tetapi saya harap kami boleh bermain dengan baik dalam setiap perlawanan. Mereka percaya kami boleh melakukan lebih banyak lagi.

“Kadang-kadang dalam bola sepak, kita sudah melakukan yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi. Kami memohon maaf kepada penyokong Sang Penyu kerana tidak dapat membawa balik tiga mata penuh tapi paling penting tiada pemain yang cedera," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Haroon juga mengakui sukar untuk mengatasi The Cops kerana mereka mempunyai disiplin taktikal yang hebat.

“PDRM berdisiplin dan pasukan yang bagus. Mereka tidak mempunyai bintang tetapi sentiasa menghasilkan keputusan yang baik.

“Saingan liga hari ini sangat kompetitif. Pasukan yang berada di zon penyingkiran boleh melaakar kejutan," ujarnya.

Skuad Sang Penyu mempunyai sembilan lagi baki perlawanan untuk memenuhi jangkaan peminat agar menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan lima teratas akhir musim nanti. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram