Maaf Penang FC, Jordan Mintah pilih setia bersama Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah. — Instagram/jordan_mintah28

PERLAWANAN antara Terengganu FC (TFC) dan PDRM FC pada Ahad menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang jaringan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor itu.

Kedua-dua pasukan itu terpaksa berpuas hati selepas sekadar berkongsi satu mata dengan keputusan 0-0.

Di sebalik perlawanan tersebut, nama penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah menjadi topik utama penyokong bola sepak tanah air kerana didakwa bakal memadam impian dua pasukan liga yang menginginkan khidmatnya.

Sebelum ini, dikhabarkan bahawa penyerang kelahiran Ghana itu bakal disingkirkan daripada pasukan TFC berikutan masalah disiplin.

Ia rentetan daripada penjelasan pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner yang mengatakan bahawa keputusan itu diambil atas faktor disiplin susulan keengganan Mintah mengambil sepakan penalti dalam aksi separuh akhir Piala FA bertemu KL City FC.

Hal itu disahkan lagi apabila Steinbruckner mengetepikan Mintah dalam perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC yang berlangsung di Gong Badak, Terengganu, baru-baru ini.

Namun begitu, ejen bola sepak Mintah, Wan Anwari Wan Amran menafikan perkara tersebut kerana Mintah tidak menerima sebarang surat yang membabitkan isu disiplin daripada jurulatih atau pihak pengurusan TFC.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 12.17.07 (1)

Tangkap layar hantaran tersebut di Twitter. Twitter/Zulhelmizainalazam

Selepas berita berkaitan kedudukan Mintah di Terengganu FC surut, timbul perkembangan terbaharu berkaitan status pemain tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman Twitter wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan bahawa penyerang berbisa itu akan kekal bersama skuad Sang Penyu.

"Deal Off. Jordan Mintah buat keputusan untuk kekal bersama Terengganu walaupun difahamkan Penang kembali mahu mendapatkan Mintah secara pinjaman bagi menggantikan Giovane Gomes yang sudah dilepaskan skuad Harimau Kumbang," katanya dalam hantaran tersebut.

Harimau Kumbang perlu melupakan niat tersebut kerana Mintah sudah membuat keputusan untuk kekal bersama Sang Penyu.

Terdahulu, terdapat desas-desus yang mengatakan Penang FC menjadi calon baharu untuk menyambar Mintah selepas Kuching City turut menginginkan khidmat penyerang TFC itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram