SABAH FC menunjukkan taring selepas berjaya membenam Sri Pahang FC dengan keputusan 4-0 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.
Keputusan Datuk Ong Kim Swee (DOKS) meletakkan gandingan baru Darren Lok dan Ramon Machado membuahkan hasil untuk membantu pasukan Sang Badak terus meraih kemenangan.
Gandingan kedua pemain tersebut dilihat sangat berbahaya selepas menemui keserasian ketika aksi sulung penyerang import Brazil itu.
Keserasian yang ditampilkan oleh duo Sang Badak itu seolah-olah memberi amaran kepada pasukan lain agar berjaga-jaga dengan kemaraan gandingan mereka.
Ini kerana jika di Johor Darul Takzim, ada gandingan Bergson da Silva dengan Fernando Forestieri, begitu nampaknya apa yang dapat dilihat dalam 'pairing' Darren dan Ramon.
Gandingan berbisa Sabah FC, Darren Lok dan Ramon Machado. — Facebook/MFL
Perkara itu dapat dilihat apabila gol pembukaan Darren merupakan hasil umpanan Ramon yang berjaya disudahkan oleh pemain warisan England-Malaysia tersebut dengan tendangan kaki kanan yang perlahan namun berhasil menyentuh jaring lawan.
Tidak berpuas dengan satu gol, Darren menambah lagi koleksi jaringannya apabila berjaya menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Zarif Irfan dengan sepakan kencang dari luar kotak penalti.
Setelah empat perlawanan direhatkan akibat kecederaan nampaknya Darren masih menyimpan cita-cita untuk menjaringkan gol dan dua jaringan yang dihasilkan ketika menentang Pahang FC membuktikan dia sudah sembuh 100 peratus.
Darren kelihatan berbeza pada musim ini kerana kurang menjaringkan gol mungkin kerana kecederaan yang dialami.
Setakat awal musim ini, Darren hanya mencatat enam gol berbeza jika dibandingkan dengan prestasinya ketika bersama Petaling Jaya FC yang merekodkan 15 gol dalam saingan Liga Super musim lepas.
Selain itu, nama baru juga muncul dalam arena bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) iaitu penyerang baharu Sabah FC, Ramon Machado yang berasal dari Brazil.
Ramon juga menunjukkan kemampuannya dengan berjaya menghasilkan jaringan menerusi sepakan kaki kiri yang kencang hingga membuat penjaga gawang Pahang FC tidak mampu untuk menepis bola tersebut.
Penyerang baharu itu kini berjaya mencatat tiga jaringan selepas dua perlawanan bersama Sabah FC dan ia merupakan satu langkah awal untuk meyakinkan jurulatih dan penyokong untuk memberi kepercayaan terhadapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram