SUKAN olahraga kehilangan seorang legenda, Hanapiah Nasir yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 petang pada Ahad di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Allahyarham, 65, banyak menyumbang keringat kepada sukan olahraga negara, meraih empat emas, masing-masing dalam acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan decathlon (1983 dan 1981) di temasya Sukan SEA.
Pada 1985, Allahyarham memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59m serta 110m lari berpagar.
Allahyarham turut meraih perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi.
Selepas bersara, Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga ke 2009.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kg Baru pada Ahad dan dikebumikan Isnin.
Dalam pada itu, bekas atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin turut memuat naik hantaran mengenai pemergian Allahyarham di akaun Facebook miliknya.
"Mohon sedekahkan al-Fatihah buat coach Hanafiah Nasir yang baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan semasa saya aktif dalam sukan olahraga," kata Adi.
Dalam pada itu, pemenang pingat emas 110m negara di Sukan SEA Manila 2005, Robani Hassan turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Salam takziah buat keluarga coach Hanafiah Nasir yang baharu sahaja meninggal dunia di HKL. Terima kasih coach. Semoga tenang di sana," tulisnya di laman Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram