Penang harap fans bersabar, peka cadangan anjurkan protes aman di Stadium Bandaraya


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Pelbagai masalah di dalam dan di luar padang dialami kelab Utara tanah air terbabit. — Facebook/Penang FC

PRESTASI tidak menentu musim ini menyaksikan Penang FC berada di kedudukan ke-10 Liga Super dengan satu mata membezakan mereka dengan pasukan di tangga lebih atas, Negeri Sembilan FC.

Kekalahan 0-3 kepada Selangor FC baru-baru ini semakin merumitkan lagi keadaan memandangkan mereka hanya mengutip lima mata dalam lima perlawanan terakhir.

Lebih teruk lagi, skuad Harimau Kumbang dijangka akan terus bergelut untuk baki musim 2023 selepas berpisah dengan penyerang kelahiran Brazil, Giovane Gomes.

Keputusan tersebut dilihat semakin menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong dengan pemain berkenaan berada di kedudukan kedua penjaring terbanyak pasukan dalam Liga Super.

Jadi, kehilangan itu akan menyukarkan usaha mereka untuk berada dalam kelompok 10 pasukan teratas menjelang penutup musim 2023, lebih-lebih lagi dengan pasukan lain sudah mula mendapatkan rentak masing-masing.

Untuk meluahkan rasa tidak puas hati itu, peminat setia Penang FC meluahkan cadangan untuk mengadakan protes secara aman selepas aksi Liga Super berdepan Sabah FC pada 30 Julai akan datang.

Berdasarkan satu hantaran di laman Facebook Penang Brotherhood pada Isnin, tindakan itu bakal dibuat dengan tujuan agar pihak pengurusan bertindak lebih aktif.

361282540_810420617265261_4681467006031861780_n

Penang FC mengeluarkan satu kenyataan rasmi berikutan kekecewaan yang mula rancak dibincangkan. Facebook/Penang FC

Untuk menjawab mengenai hasrat penyokong itu, pihak pengurusan Penang FC bertindak mengeluarkan kenyataan bagi menghalang program berkenaan daripada diadakan.

"Pihak pengurusan mengambil berat kempen 'Duduk dan Bantah' yang digagaskan sekumpulan penyokong Penang FC serta apa-apa kecaman terbuka yang ditujukan kepada pengarah teknikal, pengurus pasukan senior dan barisan jurulatih pasukan.

"Pihak pengurusan sekali-kali tidak akan menggunakan isu bajet yang kecil dan sentiasa berusaha gigih secara konsisten untuk membiayai perbelanjaan pasukan senior, Bawah 23 tahun, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia tanpa gagal," tulisnya.

Selain itu, mereka turut memberi peringatan kepada mana-mana laman media sosial supaya tidak mengeluarkan kenyataan terhadap individu tertentu atas faktor keselamatan.

Tidak cukup dengan itu, pihak pengurusan turut berharap agar orang ramai supaya tidak melakukan protes berkenaan selain berharap agar mereka terus cekal dengan keadaan semasa skuad Harimau Kumbang.

"Berhubung prestasi pasukan pula, pihak pengurusan berharap para penyokong akan terus bersabar dan bertenang untuk baki sembilan perlawanan dan saingan dalam Piala Malaysia kelak.

"Pencapaian yang lebih baik ini bukan sahaja amat penting kepada para penyokong, bahkan ia menjadi faktor penting untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan Kerajaan Negeri dan penaja untuk terus memberi sokongan kewangan atau sebaliknya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram