Kecewa prestasi semasa, wakil penyokong Penang FC bakal anjurkan protes aman lepas game The Rhinos


  • Podium
  • Isnin, 17 Jul 2023

Satu protes aman akan dianjurkan wakil penyokong Penang FC selepas aksi Liga Super berdepan Sabah FC pada 30 Julai nanti.

KEKALAHAN di tangan Selangor FC di tempat lawan pada Sabtu menyaksikan Penang FC berada di tangga ke-10 Liga Super selepas mengharungi 17 perlawanan setakat ini.

Ia juga merupakan perlawanan ketiga dalam lima aksi terakhir buat skuad Harimau Kumbang apabila mereka gagal membawa pulang sebarang mata, sekali gus menyaksikan kedudukan pasukan semakin jatuh ke bawah dalam carta liga.

Keputusan tersebut semestinya amat pahit untuk ditelan rata-rata penyokong kelab berkenaan yang semakin kecewa dengan hala tuju samar cuba diterapkan pihak pengurusan.

Tidak cukup dengan itu, pasukan Utara tanah air itu sekali lagi dilanda masalah apabila pemain import, Giovane Gomes disahkan akan meninggalkan Penang FC pada Isnin meskipun sudah menjaringkan empat gol dalam 13 penampilannya.

359482369_809243444049645_1369968794205958449_n

Skuad Harimau Kumbang kini berada di tangga ke-10 Liga Super selepas 17 perlawanan. Facebook/Penang FC

Perkara berkenaan semestinya menambah derita dalam kalangan pengikut setia kelab apabila skuad Harimau Kumbang perlu meletakkan sandaran tinggi terhadap penyerang muda, Alif Ikmalrizal Anuar untuk mendapatkan jaringan.

Hal berkenaan semestinya akan lagi merumitkan usaha mereka untuk menamatkan saingan musim ini di tangga lebih baik memandangkan pasukan-pasukan lain terus merencana rancangan untuk terus berkembang.

Bagi meluahkan kekecewaan itu, segelintir penyokong Penang FC memilih untuk mengadakan protes secara aman dengan harapan ia dapat membuka mata pihak pengurusan mengenai situasi semasa kelab.

Menurut satu perkongsian di laman Facebook Penang Brotherhood, mereka berhasrat untuk menganjurkan program 'Duduk & Bantah' dengan tarikh yang dicadangkan adalah pada 30 Julai, iaitu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC.

Berdasarkan informasi lanjut yang diterima, protes tersebut akan diadakan di kawasan tempat duduk 'grandstand' Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sambil mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai tanda ketidakpuasan hati berdasarkan prestasi dan isu-isu semasa Penang FC.

Setakat ini, kelab Utara tanah air itu tidak pernah mengalami sebarang isu tunggakan bayaran gaji, namun masalah kekurangan dana menyaksikan pihak pengurusan tidak dapat melakukan perbelanjaan secara efisien setiap kali jendela perpindahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram