KEHILANGAN tonggak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar yang tidak lagi bersama pasukan Sang Badak untuk baki saingan musim ini amat dirasai oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Baddrol beraksi kali terakhir bersama Sabah FC selepas pasukan itu berjaya menewaskan Sri Pahang FC 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu.
Kim Swee mengakui terkesan dengan kehilangan pemain berusia 35 tahun itu bagaimanapun tetap menghormati keputusan Baddrol.
"Bukan mudah untuk Baddrol memilih untuk bersara namun apa yang Baddrol lakukan adalah demi kepentingan masa depan, jadi kita harus menghormatinya.
Dalam pada itu, Kim Swee menyerahkan pengganti Baddrol kepada pihak pengurusan Sabah FC untuk membuat keputusan.
"Terpulang kepada pihak pengurusan jika kita mempunyai kemampuan dari segi kewangan sudah tentu saya akan menambah baik lagi pasukan,” katanya.
Dengan kewangan yang terhad, Majoriti senaraikan tiga pemain paling sesuai gantikan Baddrol di Sabah:
Hariss pernah dilantik sebagai kapten JDT. — Facebook/Lion City Sailors
1. Hariss Harun (Lion City Sailors)
Antara pemain yang mempunyai ciri-ciri 'leadership' menyerupai Baddrol Bakhtiar, siapa tidak kenal dengan kredibiliti kapten pasukan nasional Singapura, Hariss Harun.
Kali terakhir beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama Johor Darul Takzim (JDT) pada 2021 selepas mendapat tawaran daripada kelab Singapura, Lion City Sailors (LCS).
Pemain berusia 32 tahun itu kini merupakan tonggak utama LCS yang mana banyak beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan boleh bermain di posisi bertahan.
Kualiti yang ada pada Hariss sama seperti pemain import dengan corak permainan yang sudah terbukti dalam Liga M ia tidak menyukarkan Kim Swee untuk mempercayai pemain kebangsaan Singapura itu.
Aguero musim ini dilantik menjadi kapten Sri Pahang FC. — Facebook/Sri Pahang FC
2. Sergio Aguero (Sri Pahang FC)
Pemain naturalisasi kebangsaan, Sergio Ezequiel Aguero antara tunjang utama Sri Pahang FC dalam memacu kecemerlangan skuad Tok Gajah.
Nama Aguero mula mendapat perhatian selepas dia menjadi rakyat Malaysia dan kecemerlangannya ketika menyarung jersi Harimau Malaya.
Musim ini pemain kelahiran Argentina itu dilantik sebagai kapten Sri Pahang yang mana menjadi calon ideal untuk menggantikan peranan yang ditinggalkan Baddrol di Sabah.
Menurut laman sesawang Tranfermarkt, kontrak Aguero bersama Pahang akan tamat pada November 2023 yang mana membuka peluang Sabah untuk merekrutnya.
Aguero sudahpun menjaringkan dua gol dan tiga assists dalam lapan perlawanan terakhir bersama Tok Gajah di Liga Super.
Azizzan merupakan anak jati Sabah yang masih tiada pasukan profesional. — Facebook/Machan FC
3. Azizzan Nordin
Pemain berasal dari Bongawan, Sabah itu mula mendapat perhatian ketika mewakili skuad Sang Badak selepas tamat berkhidmat dengan Harimau Muda B.
Kelab terakhir diwakili oleh pemain berusia 28 tahun secara profesional ialah Penang FC selama satu tahun sebelum dilepaskan pada musim ini.
Azizzan boleh bermain di posisi tengah dan terkenal dengan kekuatan fizikalnya sekali gus boleh beraksi sebagai tengah bertahan.
Pemain berketinggian 1.69 meter ini pernah beraksi bersama Harimau Malaya pada 2019 dalam aksi persahabatan menentang Sri Lanka.
Dikhabarkan dia kini sedang beraksi dalam Liga M4 bersama Machan FC dengan bekas penyerang Harimau Muda, Rozaimi Abd Rahman.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram