SELANGOR FC mencatatkan kemenangan penting dalam Liga Super apabila mudah membenam Penang FC di laman sendiri pada Sabtu.
Jaringan Noor al-Rawabdeh, Richmond Boakye dan Faisal Halim membantu skuad Gergasi Merah meletakkan jurang lebih besar dengan pencabar untuk kedudukan naib johan, Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Antara punca di sebalik kemenangan selesa itu ialah kecemerlangan kesemua pemain yang dipertaruhkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dalam misi mereka untuk merekodkan kemenangan ke-12 musim ini.
Salah seorang yang diturunkan di Stadium MBPJ, Selangor ialah bek kiri, Fazly Mazlan dengan dia dimasukkan untuk menggantikan pemain cedera, Khuzaimi Piee pada minit ke-76.
Ia merupakan penampilan pertama buat pemain berusia 29 tahun tersebut sejak kali terakhir beraksi buat Selangor FC dalam separuh akhir Piala FA berdepan Johor Darul Takzim (JDT) pada 26 Jun lalu.
Meskipun hanya bermain buat seketika, dia menampilkan persembahan cukup bersemangat dengan melakukan asakan demi asakan bagi memastikan gawang gol mereka tidak dibolosi.
Lebih manis lagi, Fazly turut beraksi untuk kali pertama sejak sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Shazreena Abdullah pada Rabu lepas.
Bercakap selepas perlawanan itu, bekas pemain JDT itu berkata, dia cukup berpuas hati dengan aksi peribadinya di samping berkongsi bahawa isterinya sempat mengutuskan pesanan manis buatnya.
Fazly sah menjadi suami kepada pilihan hatinya 10 Julai lalu. — Instagram/fazlymazlan22
"Alhamdulillah, majlis tempoh hari berjalan dengan baik dan sekarang tibanya masa untuk saya lebih fokus dan lebih cergas untuk bantu Selangor capai misi kami.
"Ucapan maju jaya itu pastinya ada untuk mana-mana pasangan kerana ia akan membantu kita untuk tambah baik dan juga bakar semangat kita," katanya.
Setakat ini, Fazly boleh dianggap sebagai antara tonggak utama pasukan Lembah Klang tersebut selepas menjadi pilihan utama buat Cheng Hoe dalam 13 daripada 17 perlawanan Liga Super yang sudah ditempuhi mereka.
Ia dilihat sebagai satu perkara yang positif buat bek versetail berkenaan memandangkan dia masih dipercayai meskipun skuad Gergasi Merah ketika ini mempunyai seorang lagi pemain pertahanan di sayap sama iaitu Ahmad Zikri Khalili.
Sumbangannya boleh dianggap agak penting apabila kebolehannya untuk bertahan sedikit sebanyak membantu pasukan terbabit mencatatkan empat 'clean sheet' ketika dia diturunkan.
Tambah Fazly lagi, limpahan pemain dalam skuad ketika ini, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang lebih muda tidak memberi sebarang impak negatif memandangkan ia hanya akan membakar lagi semangat masing-masing.
"Saya rasa ini satu keadaan yang baik kerana mereka semua adalah prospek untuk Selangor FC dan pasukan negara untuk masa akan datang.
"Perkara itu sememangnya perlu ada dalam setiap pasukan kerana kita akan menampilkan aksi terbaik walaupun ketika berada di atas padang latihan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram