'What a legend', giliran Mat Don beri mesej perpisahan buat Baddrol Bakhtiar


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Baddrol (kiri) dan Liridon merupakan tonggak utama Kedah FA ketika kedua-dua mereka masih di kelab berkenaan. — Facebook/Kedah FA

PEMAIN tengah ternama negara, Baddrol Bakhtiar pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Sabah FC selepas meluangkan semusim setengah di kelab Borneo itu.

Keputusan berkenaan jelas mencetuskan kejutan dalam kalangan penyokong bola sepak memandangkan dia dilihat masih mampu bermain dalam Liga Super untuk beberapa tahun lagi.

Namun, dengan usianya sudah mencecah 35 tahun, Baddrol memilih untuk mencari angin baharu dengan ada laporan yang mengatakan dia akan cuba untuk menceburi bidang politik.

Hal itu seperti cukup sesuai untuk pemain tersebut memandangkan reputasinya yang cukup baik dengan sikap rendah dirinya sering diberikan pujian.

Jadi, untuk meraikan kariernya yang gilang-gemilang, ramai pemain serta pihak berpengaruh mengutuskan ucapan maju jaya buat Baddrol di media sosial.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 10.21.14

Ucapan menyentuh hati yang dibuat Liridon untuk menghargai karier gemilang Baddrol.

Rizal Ghazali, Azraai Khor Abdullah serta rakan sepasukan di Sabah FC merupakan antara yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat buat kapten berpengaruh itu selain mengharapkan masa depannya cukup cerah.

Tidak cukup dengan itu, bekas pemain yang pernah bersama-sama Baddrol di atas padang juga berpeluang menyampaikan mesej menyentuh hati buatnya, sekali gus menceritakan mengenai personalitinya.

Pemain tengah Terengganu FC, Liridon Krasniqi merupakan sebilangan yang berusaha memperingati zaman-zaman permainan Baddrol menerusi satu hantaran di InstaStory peribadinya.

'What a legend, what a leader. Terima kasih atas segalanya. Semoga ALLAH memberikati anda serta keluarga, El Capitano," tulis Liridon.

Pemain kelahiran Kosovo itu sebelum ini pernah bersama-sama Baddrol di Kedah FA dengan kedua-dua mereka memainkan peranan cukup penting dalam tahun-tahun kegemilangan kelab.

Bagaimanapun, pada 2019, Liridon memilih untuk meninggalkan skuad Sang Kenari apabila menyertai Melaka United sebelum memilih untuk menyambung kariernya di Johor Darul Takzim (JDT).

Kini, dia bersama-sama Terengganu FC selepas kurang mendapatkan peluang bersama skuad Harimau Selatan meskipun dia sudah berstatus naturalisasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram