'Sebab itu kita sign dan simpan', gerun dengan Akhyar Rashid, Matt Davies lega kini sama-sama 'teammates'


  • Podium
  • Isnin, 17 Jul 2023

Antara aksi Davies sewaktu bergelar tonggak Sri Pahang ketika menentang Akhyar yang menyarung jersi Kedah. — Agensi

KEHADIRAN penyerang sayap kiri, Akhyar Rashid ke Johor Darul Takzim (JDT) pada 2019 menimbulkan kontroversi dan ketidakpuashatian penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC terhadap juara bertahan Liga Super itu.

Masakan tidak, ketika di awal karier profesionalnya bersama Sang Kenari, anak jati Kedah itu merupakan antara prospek tanah air yang mencuri tumpuan berikutan sering tampil dengan aksi lincah dan turut merakam gol penting untuk skuad kebangsaan ketika itu.

Malah kehebatan pemain berusia 24 tahun itu bertambah menyerlah apabila Akhyar menjadi antara watak utama Harimau Selatan pada musim 2019 dengan tampil dalam 23 perlawanan yang disertai bekas juara Piala AFC 2015 tersebut.

Kemahiran yang ada pada pemain kebangsaan itu juga turut diperakui oleh rakan sepasukannya, Matthew Davies sehinggakan pertahanan kental Harimau Selatan tersebut menganggap Akhyar merupakan pemain paling sukar pernah dikawalnya atas padang.

Pengakuan dari pemain warisan Australia-Malaysia itu dilontar ketika menjawab soalan seorang penyokong yang hadir ke Toppen Shopping Centre bagi sesi ramah mesra bersama para peminat Harimau Selatan.

WhatsApp Image 2023-07-17 at 13.59.31

Pemain JDT yang hadir ke Toppen Shopping Centre bagi sesi ramah mesra bersama para peminat Harimau Selatan.

"Bagi saya salah seorang yang sukar ialah Akhyar Rahsid ketika dia bersama Kedah dan saya di Pahang.

"Dia (Akhyar) merupakan seorang yang saya sukar nak lawan. Saya lega kerana saya tak perlu menentangnya lagi," jawabnya ringkas memetik video yang dimuat naik seorang penyokong JDT di laman TikTok.

Setahun selepas Akhyar sertai Harimau Selatan, bek kanan tersebut disahkan menyertai JDT dari Pahang pada musim 2020 dan Davies juga dianggap sebagai menjadi pelaburan jangka masa panjang JDT.

Meskipun kini Akhyar kurang mendapat minit permainan namun tidak dapat dinafikan pemain berketinggian 1.69 meter itu masih mampu memberikan impak dan sumbangan walaupun diturunkan sebagai pemain gantian.

"Sebab itu kita sign dan simpan Akhyar ini," kata penyokong Harimau Selatan, Arif Aiman Supporters.

"Akhyar memang seorang pemain yang lincah dan bertenaga," tambah seorang penyokong JDT, Azman Azman.

Buktinya, pada perlawanan menentang Kelantan baru-baru ini, Akhyar berhasil meledak jaringan keduanya musim ini dan sumbangannya itu membantu JDT menang 5-0 ke atas skuad The Red Warrios (TRW).

Secara keseluruhan, Akhyar sudah merekodkan dua jaringan gol dan satu hantaran bantuan (assist) dalam sembilan perlawanan Liga Super dia diturunkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram