TERENGGANU FC (TFC) tercicir mata dalam dua aksi berturut-turut apabila diikat tanpa jaringan menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.
Sebelum ini, TFC terpaksa bangkit untuk mengikat Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 3-3, sekali gus membawa pulang satu mata berharga.
Dalam perlawanan Ahad, skuad kendalian Tomislav Steinbrucker ibarat 'hilang penyudah' apabila gagal menembusi benteng pertahanan skuad The Cops walaupun cuba melakukan beberapa percubaan ke gawang PDRM sehingga ke saat akhir.
Bukan itu sahaja, prestasi skuad Sang Penyu yang tidak konsisten sepanjang musim menyebabkan segelintir penyokong mula menuding jari dan menyalahkan jurulatih kelahiran Croatia itu.
Hal itu berikutan prestasi skuad Sang Penyu yang sedikit mengecewakan apabila hanya merekodkan 25 mata selepas 17 perlawanan Liga Super.
Setakat ini, Steinbruckner merekodkan enam kekalahan buat Terengganu di samping mempunyai masalah mengenai kualiti barisan pemain import yang tidak konsisten seperti Adisak Kraisorn serta Ivan Mamut.
Namun, seorang penyokong, Fierdaus Park mempunyai pendapat yang tersendiri melihat kepada corak permainan yang merudum dan Tomislav yang masih bergelut untuk membawa perubahan positif kepada Sang Penyu.
Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrucker. — Facebook/TerengganuFC
"Nak tanya, kalau tukar Tomi (Tomislav) sekalipun, benda tetap sama. Cuba ambil Benjamin Mora jadi coach (jurulatih) tahun depan. Saya yakin tetap sama.
"Bukan penjilat Tomislav, perlu buang akar dia dulu. Jika dibandingkan Nafuzi Zain dan Tomi, kenapa tak nak bandingkan musim pertama Nafuzi handle (kendalikan) TFC dengan Tomi handle TFC?," tulisnya.
Menurut Fierdaus, kejayaan sebuah kelab adalah bergantung kepada pasukan itu sendiri yang sanggup berbelanja besar demi pasukan.
"Bandingkan pula dengan musim pertama Nafuzi di Kedah Darul Aman FC (KDAFC), untung dapat Tan Sri Daud Bakar sebagai penaung. Pramusim di Turki, so overall, apa yang nak kata? Pergi seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau penaung yang pandai cari sponsor (tajaan).
"Ada duit, semua jalan. Sabah FC beraksi di pertandingan kelolaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sanggup labur ambil pemain tempatan kebangsaan," tulisnya.
Ketika melatih Terengganu, Nafuzi juga diangkat sebagai jurulatih terbaik dalam ABK 2022. — Facebook/TerengganuFC
Edy Aidil turut bersetuju dengan pendapat Fierdaus dan berharap penyokong yang lain memberi masa kepada Tomislav.
"Saya setuju dengan pendapat tuan. Kita faham, cuma segelintir yang begitu. Yang ini out, yang itu out. Nampak beza musim Nafuzi masa musim pertama dengan Tomislav.
"Namun, pemain pun kena pandai memainkan peranan juga. Jurulatih sudah menurunkan ilmu, jadi pemain perlu menggunakan ilmu itu sebaik mungkin. Rezeki kita satu mata sahaja pada perlawanan menentang PDRM," katanya.
Seorang lagi penyokong, Ahmad Kamal pula mempersoalkan tindakan pihak pengurusan yang melepaskan Nafuzi pada musim lalu.
"Satu saja nak tanya, betul ke Nafuzi ambil masa tiga musim untuk jadi bagus, tetapi kenapa dalam keadaan pasukan Nafuzi dalam keadaan yang bagus dirombak dan dia dilepaskan? Perlu ke selepas tiga musim pasukan dirombak dan dibina baru?" soalnya.
Untuk rekod, skuad Sang Penyu kini berada di tangga keenam carta Liga Super dan bakal bertembung dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 28 Julai ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram