'Janji ALLAH itu pasti', Yusri Che Lah harap 3 mata penting atasi Kuching City jadi ‘turning point’ TBG


  • Podium
  • Isnin, 17 Jul 2023

Yusri berjaya merekodkan kemenangan pertama dalam Liga Super bersama Perak FC musim ini. — Facebook/Perak FC

PERAK FC menamatkan edisi kemarau tanpa kemenangan dalam Liga Super selepas meraih tiga mata penuh ketika aksi dengan Kuching City FC di tempat lawan pada Ahad.

Tandukan kapten pasukan, Luciano Guaycochea memastikan pelawat berada di hadapan seawal minit ke-13 sebelum kelekaan penjaga gol, T Shaheeshwaran membuka peluang buat penyerang skuad The Cats, Abu Kamara menyamakan kedudukan.

Meskipun asakan demi asakan dibuat ke arah pintu gol tuan rumah, ketumpulan jentera serangan skuad The Bos Gaurus (TBG) di samping keutuhan benteng pertahanan pihak lawan menyebabkan keputusan kekal 1-1.

Namun, pada minit ke-80, penjaring terbanyak kelab musim ini, Seo Seon-ung menandakan kepulangannya dalam pasukan selepas kecederaan panjang dengan jaringan cukup bermakna.

Gol berkenaan menyaksikan Perak FC memiliki kelebihan sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menggembirakan ratusan penyokong skuad TBG yang sanggup hadir ke Stadium Negeri, Sarawak untuk memberikan sorakan bermakna.

361332339_289574990289550_1105156224349000630_n

Skuad TBG pasti mengharapkan dapat mencatatkan lebih banyak kemenangan dalam Liga Super selepas ini. Facebook/Perak FC

Jadi, dengan kemenangan ketiga mereka dalam Liga Super sudah diraih, kepuasan pastinya terlakar di wajah masing-masing meskipun kelab Utara tanah air tersebut masih kekal dalam kelompok lima pasukan tercorot ketika ini.

Perasaan itu seperti turut dirasai ketua jurulatih, Yusri Che Lah yang berharap keputusan di tempat lawan berkenaan dapat menjadi titik perubahan buat pasukan untuk mengharungi baki musim dengan lebih bersemangat.

"Saya mengharapkan sesuatu dan Alhamdulillah, kehadiran semula pemain dari kecederaan. Saya juga lihat ada beberapa pemain yang cedera agak berat malam ini.

"Sesungguhnya, janji ALLAH itu pasti, kami akan berusaha walaupun agak sukar untuk bermain selepas ini dan ia akan menjadi realiti seandainya kami terus fokus," katanya kepada Astro Arena selepas perlawanan.

Selain Seon-ung, Perak FC turut berkesempatan menurunkan beberapa wajah-wajah baharu, seperti Syukri Baharun dan Aiman Yusni serta pemain yang baru sahaja pulih daripada kecederaan, termasuk Faris Izdiham yang masuk pada minit-minit akhir perlawanan.

Ia dilihat menjadi satu pemangkin buat skuad TBG dalam pertembungan berkenaan, lebih-lebih lagi buat Yusri yang berjaya mencatatkan kemenangan pertama bersama pasukan terbabit dalam Liga Super selepas mengambil tampuk kejurulatihan pada awal Jun lalu.

Tiga mata yang diraih itu menyaksikan Perak FC kekal di tangga ke-11 Liga Super dengan 13 mata sudah dalam genggaman, sekali gus mencipta jurang lebih besar dengan pasukan lebih bawah berbanding mereka. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram