'Ketawa, menangis bersama', 3 momen penting persahabatan Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali


  • Podium
  • Isnin, 17 Jul 2023

Baddrol dan Rizal ketika masih beraksi bersama skuad Sang Kenari. — Facebook

KEAKRABAN antara Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali bukan merupakan suatu rahsia dalam kalangan penyokong bola sepak negara.

Ini kerana persahabatan kedua-dua anak jati Kedah itu dilihat sudah mula terjalin sejak kedua-duanya beraksi sebagai pemain utama skuad Sang Kenari selama beberapa musim.

Hubungan Baddrol, 35, bersama Rizal, 30, juga dikatakan semakin rapat apabila kedua-duanya menyertai Sabah FC pada akhir 2021.

Keakraban antara kedua-dua pemain itu turut dikongsikan di sosial media dan menjadi perhatian penyokong The Rhinos yang menyifatkan kedua-duanya seakan-akan mempunyai pertalian seperti abang dan adik.

Malah, anggapan itu lebih dikuatkan lagi apabila kelibat Baddrol turut dilihat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor untuk mengiringi Rizal yang berhadapan dengan pertuduhan membabitkan kes peribadinya bersama bekas teman wanitanya pada Jun lalu.

2179964

Rizal (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika Baddrol memberikan ucapan buat penyokong Sabah FC selepas tamat perlawanan pada Sabtu. — Facebook/Sabah FC

Disebabkan itu, keputusan mengejut Baddrol atau lebih dikenali sebagai Kapten Marvel pastinya menjadi satu perkembangan yang agak menyedihkan buat Rizal.

Malah pemain pertahanan kanan Sabah FC itu juga dilihat seakan-akan tidak menahan sebak ketika rakan baiknya itu memberikan ucapan perpisahan selepas kepada ribuan penyokong The Rhinos selepas tamat perlawanan pada Sabtu.

Berikut Majoriti kongsikan momen penting kedua-dua pemain dalam perjalanan karier mereka sebagai pemain bola sepak:

1. Terpilih Sukan Asia 2018

BANDUNG, 17 Ogos -- Pasukan Kebangsaan menyanyikan lagu Negaraku sebelum memulakan Perlawanan Peringkat Kumpulan menentang pasukan Korea Selatan pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 malam ini.--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Baddrol (kanan) dan Rizal (tiga dari kiri) ketika bersama skuad Bawah 23 tahun di Sukan Asia 2018. — Bernama

Baddrol dan Rizal merupakan antara tiga pemain lebih umur yang dipanggil memperkuatkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang ketika itu dikendalikan Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia pada 2018.

Kehadiran kedua-dua pemain tersebut dilihat menjadi antara faktor yang menyumbang kepada prestasi memberangsangkan skuad muda negara yang berjaya layak sehingga ke pusingan ke-16 kejohanan tersebut.

Lebih manis lagi adalah apabila skuad B-23 negara ketika itu berjaya menewaskan gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan 2-1 semasa aksi peringkat kumpulan yang ketika itu turut dibarisi oleh bintang bola sepak Eropah, Son Heung-min.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan teratas kumpulan di atas Korea Selatan selepas tamat kesemua aksi kumpulan.

Bagaimanapun, perjalanan anak buah Kim Swee terkandas selepas tewas tipis 0-1 di tangan Jepun ketika pusingan ke-16.

2. Julang Piala FA dan Piala Malaysia bersama KDA FC

Screenshot 2023-07-17 004735

Skuad Kedah ketika menjulang Piala Malaysia pada 2016. — Agensi

Sepanjang karier bersama skuad Sang Kenari, Baddrol dan Rizal yang merupakan tonggak utama pasukan pernah meraih kejuaraan beberapa kejohanan utama dalam Liga Malaysia iaitu Piala FA sebanyak dua kali masing-masing pada 2017 dan 2019 dan Piala Malaysia pada 2016.

Dalam aksi Final Piala Malaysia 2016 menentang Selangor, Rizal yang ketika itu mengharungi musim pertama bersama skuad Sang Kenari turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Dalam aksi tersebut, Kedah menang 6-5 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 waktu sebenar permainan.

Perlawanan akhir final Piala FA pada 2017 menentang Terengganu FC pula menyaksikan Baddrol menjadi hero apabila dua jaringannya membolehkan Kedah menang 3-2 ke atas Pahang dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor.

Kejuaraan terakhir yang dijulang kedua-dua pemain itu bersama Kedah adalah ketika skuad Sang Kenari memenangi Piala FA 2019 dengan menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan akhir yang diadakan Stadium Nasional Bukit Jalil.

3. Tinggalkan Kedah sertai Sabah

Baddrol Bakhtiar (left) celebrates his goal with teammate Rizal Ghazali. - Photo by Sabah FC

Baddrol dan Rizal menyertai Sabah FC pada Disember 2021. — Sabah FC

Sementara itu, seakan-akan sudah jodoh, kedua-dua pemain tersebut turut mengangkat kaki daripada pasukan Kedah pada waktu yang sama untuk berkelana ke Borneo dengan menyertai Sabah FC pada penghujung 2021.

Kedua-dua pemain itu dilihat merupakan tonggak utama yang menjadi tulang belakang kepada projek yang diterajui oleh Kim Swee untuk menghidupkan semula imej The Rhinos sebagai pencabar Liga M.

Penyokong Sabah FC dilihat tidak perlu menunggu terlalu lama apabila pasukan mereka terus berjaya meletakkan diri di tangga tiga dalam saingan Liga Super 2022 berbanding di tangga kesembilan pada musim sebelumnya.

Pada masa sama, skuad The Rhinos juga dilihat tidak menoleh ke belakang apabila ia dijangka mampu terus menempatkan diri di kelompok teratas liga pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram