SELEPAS menewaskan Selangor FC dengan keputusan 1-0 di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 9 Julai lalu, kini Sri Pahang FC terpaksa akur dengan kehebatan Sabah FC selepas dibolosi dengan empat jaringan tanpa balas dalam perlawanan ke-17 Liga Super di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.
Kejayaan tanpa bolos skuad Sang Badak itu menepati misi Sabah untuk tidak memberi ruang kepada Sri Pahang selaku tiga pasukan teratas liga ketika ini.
Lebih manis, jaringan besar Sabah dicapai ketika penampilan terakhir kaptennya, Baddrol Bakhtiar yang diturunkan pada minit ke-79 menggantikan Park Tae-su.
Baddrol sebelum ini diumumkan tidak lagi bersama Sabah selepas menentang Sri Pahang dan dikhabarkan bakal menyertai dunia politik.
Walaupun terpaksa berdepan pertahanan lawan yang sentiasa berhati-hati, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee jelas dapat bermain dengan baik dan tidak memberi ruang kepada pemain Pahang untuk mengawal bola agak lama.
Ia membuatkan pasukan pelawat agak tertekan dan jarang mendapat peluang melakukan serangan balas, sebaliknya lebih banyak berada di kawasan sendiri bagi menghalang kemaraan Sabah.
Hasilnya Sabah berjaya mendapat dua gol pada separuh masa pertama sebelum kembali mengatur pergerakan pada babak kedua hingga akhirnya dapat menambah dua lagi gol tanpa balas.
Pahang cuba mendapatkan semula rentak dan melakukan serangan sejurus sepak mula kedua, namun Sabah berjaya menghalang cubaan demi cubaan skuad Tok Gajah itu.
Keputusan 4 - 0 yang memihak kepada Sabah itu gagal digugat Sri Pahang hingga wisel penamat sekali gus membolehkan The Rhinos mengutip tiga mata penuh.
Azrif (kanan) gagal mengatasi asakan yang diberikan oleh pemain-pemain Sabah. — Facebook/Sri Pahang FC
Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tampak sedikit kecewa dengan corak permainan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya dan sempat mengakui kehebatan Sabah dalam perlawanan itu.
"Hari ini (Sabtu) pertandingan agak berat sebelah, mereka (Sabah) 'they want more than us', mereka bermain penuh agresif, pressing dan semangat mereka sangat tinggi.
"Kita kalah dengan pasukan yang lebih baik malam ini (Sabtu) dominasi mereka luar biasa, tahniah untuk Sabah.
"Bila kita datang kita tengok pertama gerakan mereka sangat berbahaya kita pun banyak buat silap kerana di pressing.
"Jadi hari ini bukan hari kita, kita punya sentuhan kurang baik tapi ini satu pelajaran untuk kita, kita akan ke depan dan mudahan dapat perbaiki semula cara kita bermain," katanya pada Astro Arena.
Zarif dibolosi dengan empat jaringan gol. — Facebook/Sri Pahang FC
Ditanya mengenai persiapan pasukan menjelang pertemuan menentang Perak FC, Fandi berkata, mereka perlu beri rehat kepada pemain selepas terdapat beberapa kecederaan ketika menentang Sabah.
"Buat sementara ini kita belum fikir pasal Perak, kerana kita ada dua minggu lagi, kita perlu tengok semula kerana banyak kecederaan hari ini (Sabtu).
"Kita harus waspada dengan keadaan pasukan kerana masih ada dua minggu dan ini dapat membantu kita.
"Sergio Aguero pun ada kecederaan di bahu jadi kita harus tenang dulu bagi mereka berehat beberapa hari.
"Semoga mereka kembali semula dengan lebih fresh dan bersemangat.
"Hari ini memang kita kalah dengan pasukan yang lebih baik," jelasnya.
Sri Pahang FC terlepas untuk merapatkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas tewas kepada Sabah dan kini menghuni tangga keempat yang mana Kedah Darul Aman berjaya memintas kedudukan di tempat ketiga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram