Tiada import baharu, tiada masalah: Bojan tidak lagi tertekan


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Pengendali Kuala Lumpur City FC musim ini, Bojan Hodak. — Facebook/MFL

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

KESUDAHAN dalam kelompok enam teratas mungkin tinggal angan-angan sambil Piala FA tidak lebih daripada sekadar satu impian pada ketika ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KLC) FC, Bojan Hodak, mengisytiharkan mereka tidak lagi berasa terbeban.

Dengan dipertaruhkan bajet kecil yang mengekang sebarang kemajuan lanjut, jurulatih yang terkenal dengan kelantangannya itu, bagaimanapun, menegaskan mereka tidak berasa kerdil atau rendah diri dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain yang diperkuatkan import baru.

KLC FC dan Negeri Sembilan FC adalah dua pasukan yang sebenarnya senasib. Tidak hanya terpaksa menutup jendela perpindahan sebelum ia dibuka lagi gara-gara kekangan kewangan, malah masing-masing turut kehilangan seorang pemain import tanpa berganti.

WhatsApp Image 2023-07-15 at 13.23.39 (1)

Sekitar sesi latihan pemain The City Boys. — Facebook/MFL

The City Boys kehilangan penyerang, Herlison Caion, yang meninggalkan pasukan selepas hanya separuh musim untuk menyertai sebuah kelab dalam liga Vietnam manakala Safuwan Baharuddin tidak disambung kontrak enam bulannya bersama NSFC untuk kembali menyertai Selangor FC.

“Dalam bola sepak profesional, segala-galanya ditentukan oleh bajet. Ia adalah sesuatu yang saya sebagai ketua jurulatih tidak mampu nak ubah.

“Saya faham yang pihak pengurusan telah berusaha tapi tidak dapat hendak mengadakan tambahan bajet. Jadi, kami akan teruskan dengan pemain-pemain yang ada, sesuai dengan sebuah pasukan berbajet kecil,” katanya kepada Laptop Cabuk.

Bojan, dalam pada akur dengan kekangan yang dihadapi pasukannya, berharap KLC FC tidak terbeban oleh sasaran yang tidak realistik hingga melampaui keupayaan pemain-pemain yang dimilikinya dibandingkan dengan lawan.

WhatsApp Image 2023-07-15 at 13.33.52

Sekitar aksi pemain KL City cuba mengawal bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi. — Facebook/MFL

Pada pengamatannya, enam pasukan – Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC, Sri Pahang FC, Kedah FC, Sabah FC dan Terengganu FC -- yang berada di atas mereka dalam carta liga selepas menamatkan 16 perlawanan, semuanya memiliki kemampuan kewangan lebih besar berdasarkan aktiviti dalam pasaran perpindahan.

Malah, pasukan-pasukan di bawah mereka – Perak FC, Kelantan United FC, Kuching City FC dan Kelantan FC – lebih berkemampuan untuk mendapatkan sehingga tiga pemain import baru, termasuk dengan bantuan kerajaan negeri masing-masing.

Lantaran itu juga, katanya, KLC FC tidak berasa tertekan untuk mengulangi pencapaian dua musim berturut-turut di tangga keenam pada 2021 (33 mata ) dan 2022 (29 mata) sewaktu Liga Super masih ditandingi 12 pasukan.

WhatsApp Image 2023-07-15 at 13.33.53

Aksi penjaga gol JDT, Syihan Hazmi berjaya menangkap kemas bola daripada dibolosi pihak lawan. — Facebook/MFL

Bojan, ketika diingatkan bahawa pihak pengurusan KLC FC menetapkan sasaran 41 mata untuk dicapai musim ini, berhujah: “Kami tidak punya tekanan untuk capai top six.

“Biasanya keupayaan sebuah pasukan untuk naik atau turun satu anak tangga bergantung kepada kedalaman skuad yang dimiliki. Ia ditentukan oleh perincian kecil seperti ada pengganti setanding untuk pemain utama yang cedera atau digantung.

“Kesudahannya, semua bergantung kepada bajet. Itulah sebabnya saya katakan kami tidak punya tekanan kuat untuk capai sasaran itu, sebaliknya kami ambil satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Jika kami dapat capai top six, itu akan jadi sesuatu yang menakjubkan tapi saya ulangi kami tiada tekanan untuk itu. Pada saya, pasukan yang ada ini sedang meniti kejayaan.

“Dengan tiga tahun berturut-turut layak ke final (Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023), kami sudah pun cipta sejarah. Tahun ini adalah satu lagi tahun yang sukses buat KLC FC,” katanya lagi.

Bojan, ketika diajukan sebarang penambaikan harus dialu-alukan ketika pasukannya bersiap untuk menghadapi JDT dalam final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 22 Julai, memilih untuk memberi jawapan berkias.

“Ia umpama satu mimpi (layak ke final Piala FA). Apa pun kesudahannya seminggu lagi, ia tetap satu kejayaan buat kami jika diukur daripada bajet yang kami miliki,” ujarnya sambil mengandaikan skuad Harimau Selatan itu berbekalkan peruntukan yang 10 kali ganda lebih besar.

Keputusan melepaskan Caion ke Vietnam tanpa mendatangkan seorang pengganti, dianggap ketua jurulatih berusia 52 tahun itu sebagai satu penjimatan di pihak KLC FC, yang turut tidak mendapatkan seorang pemain tempatan sekurang-kurangnya bagi menampung keperluan.

WhatsApp Image 2023-07-15 at 13.33.53 (1)

The City Boys terpaksa akur apabila ditewaskan di Stadium SSI dalam aksi Liga Super. — Facebook/MFL

Sebagai rekod, skuad The City Boys itu mendapatkan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah, secara pinjaman daripada Terengganu FC ketika jendela perpindahan kedua musim lalu.

“Ia sentiasa sukar untuk dapatkan seorang pemain tempatan yang bagus pada pertengahan musim. Jika pemain itu hendak didapatkan dari kelab lain, tentunya kami perlu membayar harga yang mahal.

“Jika seorang pemain tempatan itu berstatus ejen bebas dan tidak bermain untuk mana-mana kelab, saya khuatir dia bukan seorang pemain yang bagus,” tambahnya.

Bojan mengakui tidak pernah gentar untuk meluahkan isi hatinya terhadap apa saja keadaan walaupun itu mungkin merisikokan periuk nasinya sendiri.

Padanya, jurulatih sepertinya memiliki pendekatan yang berbeza-beza daripada seorang yang budiman, berdiplomasi hingga kepada yang lantang bersuara.

“Jika saya hilang perkerjaan hari ini, saya mungkin boleh dapat pasukan baru esok, jadi saya tak pernah simpan apa-apa untuk diluahkan.

“Lagipun, keputusan di dalam perlawanan lazimnya bercakap bagi pihak saya.

“Tapi, jangan lupa bahawa dalam bola sepak profesional, di mana sekalipun, ada banyak benda yang bergantung kepada bajet yang ada,” tambahnya.

KLC FC menjadi tuan rumah kepada NSFC di Stadium Bola Sepak Cheras pada Sabtu – pertemuan dua pasukan berbajet kecil yang dinafikan import baru tapi anehnya masih disandarkan cita-cita besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram