KETUMPULAN jentera serangan skuad Sang Penyu menyebabkan kelab Pantai Timur itu hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan PDRM FC dalam aksi minggu ke-17 Liga Super di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan meskipun beberapa percubaan dibuat ke arah pintu gol, namun digagalkan penjaga gawang yang beraksi dengan cukup baik di hadapan ribuan penonton.
Skuad Sang Saka Biru pastinya berpuas hati dengan keputusan yang dicatatkan selepas wisel penamat ditiupkan memandangkan mereka kini hanya dibezakan tiga mata dengan pasukan di tangga ketujuh, Kuala Lumpur (KL) City FC.
Bagaimanapun, bagi Terengganu FC, kegagalan untuk membawa pulang tiga mata penuh pastinya amat mengecewakan apabila pasukan berkenaan semakin sukar untuk berada dalam kelompok 'top 5' selepas mengharungi 17 perlawanan Liga Super.
Perasaan itu berpunca daripada kemerosotan ketara dipamerkan skuad Sang Penyu memandangkan mereka bergelar naib juara liga musim lalu dengan lambakan bintang serta staf kejurulatihan yang cukup berkualiti.
Tetapi, dengan mereka kini berada di tangga keenam Liga Super, tekanan pasti semakin memuncak buat pemain, lebih-lebih lagi dengan mereka bakal menempuhi cabaran getir dalam saingan Piala AFC yang akan bermula pada Ogos.
Bagi penyokong pula, prestasi mengecewakan kelab ketika ini berpunca daripada pendekatan taktikal daripada ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang tidak membuat serangan bertali-arus jika hendak dibandingkan dengan musim lalu.
Skuad Sang Penyu berdepan cabaran getir untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas. — Facebook/Terengganu FC
Ini termasuk ketika aksi berdepan PDRM FC pada Ahad dengan kesebelasan utama yang diturunkan dilihat tidak memberi tentangan hebat kepada benteng pertahanan lawan sehingga gagal mendapatkan gol dalam perlawanan itu.
Namun, perasaan terbabit turut dirasai Tomislav yang jelas kecewa dengan keputusan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila orang ramai meletakkan Terengganu FC sebagai pasukan pilihan untuk menang dalam aksi terbabit.
"Apabila kita membawa pulang satu mata dari tempat lawan, kadang-kadang ia boleh menjadi satu perkara yang bagus. Tetapi, pada separuh masa pertama, kita mengawal permainan dan juga mempunyai beberapa percubaan berkualiti dari jarak jauh," katanya kepada Astro Arena selepas perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, jurulatih kelahiran Croatia tersebut turut mengakui sedikit terkilan apabila beberapa keputusan daripada pengadil mencetuskan rasa kurang senang sehingga menutup peluang skuad Sang Penyu untuk mencatatkan kemenangan kelapan mereka kali ini.
"Apa yang saya nak katakan adalah apabila saya menonton klip perlawanan, saya nampak beberapa situasi berbahaya seperti berkaitan dengan Sony (Norde) yang saya berpendapat ia wajar diberikan sepakan penalti.
"Apabila saya lihat sorotan sebelum ini pun, saya nampak minggu-minggu lepas terdapatnya dua atau tiga situasi yang diberikan penalti meskipun kesilapan dilakukan lawan tidak seteruk apa yang kami alami," katanya.
Di samping itu, Tomislav turut mempersoalkan keputusan untuk hanya memberikan tiga minit masa tambahan pada separuh masa kedua perlawanan walaupun beberapa situasi melengahkan masa dapat disaksikan.
Selepas ini, finalis Piala FA 2022 itu mempunyai peluang untuk kembali ke landasan kemenangan ketika menerima kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 28 Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram