'Dialah yang TFC perlukan', Tomislav letak jeneral baharu atasi ‘speedtrap’ The Cops


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Nurillo ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan TFC pada Sabtu. — Facebook/TFC

KELIBAT pemain import baharu, Nurillo Tukhtasinov bakal menjadi 'senjata' Terengganu FC (TFC), apabila berhadapan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, Nurillo yang pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan, telah tiba di Terengganu beberapa hari lalu dan terus menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan lain.

Beliau berkata, walaupun masih baharu, pemain berusia 26 tahun itu tidak menghadapi masalah untuk membina keserasian dan memahami corak latihan serta permainan yang diinginkan beliau.

"Kami dapat lihat kualitinya. Beliau seorang penjaring yang bagus walaupun dari jauh. Dari kiri ke kanan... kedua-dua belah kakinya.

"Saya rasa dialah yang kita perlukan. Dia seorang pemain tengah... saya amat berharap yang dia boleh sumbangkan sesuatu dan perbaiki pasukan kami. Kita akan lihat prestasi dia buat pertama kalinya malam esok (Ahad),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak, di Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu.

TOMMY

Steinbruckner ketika sesi latihan menjelang perlawanan menentang PDRM.

Dalam perkembangan sama, pengendali kelahiran Croatia itu turut mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman skuad The Cops, yang telah mempamerkan prestasi baik dalam beberapa perlawanan terakhir mereka.

Tomislav berkata, skuad Penyu tidak memiliki pilihan lain selain mengutip tiga mata penuh pada perlawanan malam esok, sekiranya tidak mahu jatuh ke kedudukan lebih rendah dalam Liga Super.

"Saya ikuti empat perlawanan terakhir PDRM. Perlawanan terakhir mereka kalah kepada Kedah, tetapi itu pun kerana penalti. Sebelum itu mereka menang tiga perlawanan berturut-turut iaitu ketika bertemu Sabah, Selangor dan Kelantan.

"Keputusan itu menunjukkan mereka satu pasukan yang bagus, kuat dan berdiplin. Kita perlu berada dalam keadaan terbaik untuk mngutip tiga mata penuh,” katanya.

TFC ketika ini berada di tempat keenam liga selepas mengutip 24 mata, manakala PDRM FC di tempat kelapan dengan 22 mata. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram