Lupakan Safuwan, Jang Hobin tagih bisa 2 import tamatkan kemarau kemenangan sejak Mei berdepan The City Boys


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Pengendali Negeri Sembilan FC musim ini, K. Devan.

KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan sedang berusaha untuk menamatkan kemelut kekalahan selepas pasukannya itu menghadapi lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan.

NSFC bakal menghadapi satu perlawanan yang sukar apabila dijadualkan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Skuad Jang masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak Mei dan hanya merekod tiga keputusan seri ketika menentang Kelantan United (3-3), Kuching City (1-1) dan Pulau Pinang (1-1).

Skuad kendalian K. Devan tewas dua perlawanan di tempat lawan iaitu ketika berdepan Sri Pahang FC (3-4) dan pendahulu Liga Super Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan 0-2.

Pengendali NSFC sedar pasukannya perlu menang untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super tetapi mengakui persiapan sejak dua minggu lalu tidak selancar yang mereka harapkan.

Skuad Jang menghuni tangga ke-10 dalam kedudukan Liga Super dengan mengutip 19 mata selepas 16 perlawanan liga.

“Persediaan kami terjejas apabila beberapa pemain utama termasuk Shahrel Fikri Fauzi, Anselmo da Silva dari Brazil, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Saiful Ridzuan Selama tidak bermain kerana kecederaan.

“Ketiadaan penyerang Shahrel dan Da Silva pasti akan melemahkan pasukan serangan kami tetapi kami perlu mencari jalan untuk meraih kemenangan," katanya.

Di samping itu, Devan juga mendedahkan bahawa akan menggunakan khidmat pemain import, Herold Goulon dari Perancis dan Levy Madinda dari Gabon.

"Kami hanya mempunyai dua pemain import Goulon dan Levy yang boleh kami turunkan buat masa ini kerana Safuwan Baharuddin telah kembali ke pasukan asalnya Selangor," kongsinya.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheong Hoe juga berharap pasukannya akan meraih semula kemenangan selepas ditundukkan oleh Sri Pahang dengan keputusan 0-1.

Gergasi Merah akan menerima kunjungan daripada Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

“Saya yakin dengan pemain saya untuk bangkit, ia memerlukan watak yang kuat untuk bangkit daripada kekalahan dan beraksi lebih baik,” kata Cheng Hoe. — The Star/Lim Teik Huat

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram