SELANGOR FC terus menjarakkan kedudukan daripada tiga pesaing terdekat iaitu Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC dan Sabah FC untuk kekal berada di tangga kedua carta Liga Super.
Gergasi Merah menjaringkan gol sulung menerusi serangan balas yang disudahkan Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-28 untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan.
Peledak Penang FC, Adriano Narcizo cuba mencari jaringan penyamaan pada minit ke-40, namun dapat ditampan kemas penjaga gol, Samuel Sommerville.
Sebelum wisel separuh masa kedua ditiup, penyerang dari Brazil itu sekali lagi membuat percubaan berbahaya di depan gawang skuad Merah Kuning namun masih tidak berjaya.
Faisal mencetak gol ketiga yang juga gol kemenangan skuad Selangor FC. — Selangor FC
Memasuki babak kedua, Selangor menambah jaringan menerusi rembatan import baharunya, Richmond Yiadom Boakye dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Harimau Kumbang, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.
Selangor terus berpesta gol selepas pemain sayap sensasinya, Faisal Halim meledak jaringan ketiga untuk memastikan kemenangan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Di sebalik kemenangan Selangor, ada cakap-cakap dalam kalangan penyokong Merah Kuning yang kurang berpuas hati dengan persembahan Ayron del Valle yang dilihat agak tamak dalam situasi perebutan bola.
Aksi Ayron ketika aksi menentang Harimau Kumbang pada Sabtu. — Selangor FC
"Ayron tu tamak, kalau Selangor kalah atau seri, dia yang harus dipersalahkan. Benda boleh gol tapi sambil lewa," kata Saya Tuah.
"Prestasi Ayron apahal? Macam tiada mood saja nak main dah sejak no.9 (Boakye) itu hadir. Adakah dia tak suka ada pesaing?," soal Mohd Aizat Mohamadd.
"Ayron rembat macam tak makan saja. Kemain lemah, off target pula tu. Dah lah defend pun huru hara apabila Penang sesekali attack, nasib masih belum bocor saja lagi," ujar Shafiq Tarmize.
"Tengok Ayron keluar ramai pula yang selesa passing bola," kata Mazarees Zack. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram