BARU-baru ini, menerusi kenyataan daripada pemilik Kelantan FC di laman Facebook, Norizam Tukiman sudah melangsaikan hutang yang menjadi masalah utama kelab tersebut.
Sebelum ini, pasukan yang sering dikaitkan dengan isu tunggakan gaji tersebut menyebabkan beberapa pemain termasuk staf Kelantan FC meninggalkan kelab tersebut.
Menerusi hantaran Facebook, Zamsaham turut mengesahkan tiada lagi tunggakan gaji selepas semuanya sudah dilunaskan minggu lepas.
"Gaji dah bayar minggu lepas. EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pun bayar. Kalau rezeki saya lebih, tentu saya akan bayar tepat pada masanya. Saya tak mahu lewat-lewat sebenarnya," jelasnya.
Tangkap layar Insta Story milik Rezal Zambery. — Instagram/rezalzambery23
Bagaimanapun, menerusi satu hantaran di laman Instagram, bekas ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya membangkitkan persoalan mengenai perkara tersebut.
"Sorry!! Saya belum terima lagi..kan ada balance yang perlu dijelaskan..#masihberhutang..Still Silent," katanya dalam hantaran tersebut.
Rezal tidak menyatakan hantarannya itu ada kaitan dengan isu tunggakkan gaji atau hal lain tetapi dipercayai ditujukan kepada pihak yang berhutang dengannya.
Selepas sah meninggalkan Kelantan FC atas persetujuan bersama pihak pengurusan kelab, Rezal Zambery difahamkan menjadi tulang belakang kepada Kelantan United FC bagi memperkuatkan barisan kejurulatihan pasukan tersebut.
Sebelum ini, Rezal yang pernah memegang status sebagai penolong jurulatih The Red Warriors (TRW) itu sah meninggalkan Kelantan FC pada 6 Julai lalu.
Untuk rekod, Rezal yang bersama pasukan itu sejak 2021 merupakan watak penting bawa TRW muncul naib juara Liga Premier 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram