KUALA Lumpur City FC (KL City) terus mengorak langkah menjadi sebuah pasukan bola sepak profesional yang mampu bersaing dalam Liga Malaysia meskipun tidak mempunyai status kewangan besar seperti kelab domestik lain.
Walaupun tidak mempunyai kewangan yang besar, namun nama KL City itu mampu menarik perhatian beberapa pelabur serta kelab di Eropah untuk melakukan kerjasama bersama skuad Warga Kota.
Ia dapat dilihat selepas KL City pada Isnin menandatangani perjanjian kerjasama dengan pasukan La Liga, Cadiz C.F, yang akan melibatkan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam beberapa bidang untuk manfaat bersama.
KL City menjalin kerjasama dengan Cadiz C.F. — Facebook/KL City
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard, kerjasama ini akan memberikan banyak manfaat kepada mereka sepanjang tempoh perjanjian.
"Ini merupakan manfaat yang bernilai dalam memberikan pendedahan kepada para pemain dan jurulatih kami kepada program latihan dan kursus pengurusan bola sepak yang dianjurkan samada di Malaysia atau Sepanyol," ujar Stanley dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam perjanjian tersebut, KL City turut berpeluang mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan pertama kelab Sepanyol itu sekali gus boleh menggunakan fasiliti Cadiz ketika skuad Warga Kota melakukan latihan pra-musim semasa ke sana.
Selain itu KL City memperoleh peluang untuk menggunakan kepakaran Cadiz dalam usaha memajukan pasukan.
KL City berpeluang menggunakan pusat latihan Cadiz jika menjalani latihan di Sepanyol. — Facebook/Cadiz C.F
Bagi Cadiz pula, kerjasama ini dapat membantu mereka meluaskan jenama mereka di rantau Asia Tenggara seiring dengan misi kelab itu membangunkan nama pasukan.
"Cadiz mempunyai fokus strategik di Asia Tenggara dan kami percaya bahawa kerjasama bersama KL City merupakan langkah pertama yang penting bagi memperkenalkan pasukan kami di dalam pasaran Malaysia.
"Kami tidak sabar untuk melihat pemain-pemain mereka bersama kami di Sepanyol dan pada waktu yang sama, kami berhasrat untuk membawa pasukan kami ke rantau tersebut dalam waktu yang terdekat," kata pemilik bersama Cadiz, Ben Harburg.
Perjanjian antara dua kelab ini ditandatangani oleh Stanley yang mewakili KL City.
Manakala, Jose Luiz Donoso Alvarez yang merupakan Pengarah Operasi Cadiz mewakili kelab Sepanyol itu.
Kerjasama ini dipengerusikan oleh Adrian Vazquez yang merupakan wakil La Liga di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram