BADDROL Bakhtiar merupakan seorang pemain yang sangat tenang dan tidak mudah beremosi ketika dia beraksi dalam padang.
Namun selepas perlawanan Sabah FC menentang Sri Pahang FC, ribuan penyokong yang hadir ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah menjadi saksi air mata Baddrol selepas dia sah tidak lagi bersama skuad Sang Badak.
Pemain berusia 35 tahun memberikan ucapan perpisahan terakhir kepada rakan sepasukan serta penyokong Sang Badak sejurus tamat perlawanan.
"Pengurusan Sabah FC yang banyak membantu menjaga kebajikan pemain-pemain Sabah FC tanpa anda siapalah kami.
"Dan orang yang paling penting bagi saya apabila beliau mengajak saya datang ke Sabah ini adalah coach Ong Kim Swee dan tidak lupa kepada sahabat sejati saya, Rizal Ghazali.
"Tiada kata-kata yang terakhir bagi saya dan satu kata-kata yang dapat saya tinggalkan di Stadium Likas ini ialah, kita semua pernah kalah, tetapi jangan sesekali kita mengalah, kita teruskan perjuangan demi Sabah maju jaya, terima kasih semua," katanya.
Baddrol dijulang oleh sebahagian pemain dan pengurusan Sabah FC selepas aksi terakhirnya di Likas pada Sabtu. — Facebook/Sabah FC
Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa dia akan menggantung but dan menceburi bidang politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri kelahirannya.
Dalam pada itu, Kim Swee memberi bayangan pengganti Baddrol sama ada akan ada pemain baharu atau tidak.
"Dia bukan sahaja pemain yang bagus di atas padang tetapi dia juga seorang pemimpin tetapi kita mesti menghormati keputusannya.
"Kami kehilangan seorang pemain yang sangat berpengaruh dalam bilik persalinan. Dia telah melakukan yang terbaik untuk kelab sejak musim lepas.
"Mengenai pengganti Baddrol, ia bergantung kepada pengurusan jika kami mempunyai bajet, kami akan memperkuatkan pasukan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram