Ong Kim Swee bangga anak buah 'cipta rekod' lawan Sri Pahang FC


  • Podium
  • Ahad, 16 Jul 2023

Kim Swee berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya ketika melayani kunjungan Sri Pahang di Stadium Likas. — Facebook/Sabah FC

EPISOD perpisahan kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar berakhir dengan kenangan indah apabila skuad The Rhinos berpesta gol menumbangkan Sri Pahang FC 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Kesemua pemain The Rhinos bermain bermati-matian untuk memberi penutup yang manis kepada jeneral tengah Sabah FC itu dan sekali gus mengesahkan tiga mata penuh buat pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Ia tambah manis lagi apabila penyerang kebangsaan, Darren Lok berjaya menjaringkan dua gol selepas baru pulih daripada kecederaan.

Manakala pemain import baharu, Ramon Machado terus mempamerkan aksi berbisa apabila meledak dua lagi jaringan dalam penampilan keduanya bersama Sabah FC.

Keputusan kekal 4-0 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Darren Lok

Darren menyumbang dua gol untuk Sabah FC. — Facebook/MFL

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ternyata bangga dengan anak buahnya selepas mendapat tiga mata penuh dan tidak dibolosi pada perlawanan itu.

"Tiga mata yang cukup berharga lebih-lebih lagi ini merupakan perlawanan ketiga yang mana kita tidak dibolosi.

"Jadi saya lebih tumpukan pada pertahanan dah hari ini (Sabtu) mereka menunjukkan satu unit yang cukup teguh, cukup kuat dan disamping mampu mendapatkan empat gol.

"Saya percaya ia satu pencapaian yang amat baik tetapi kita harus kekal momentum kita untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang," katanya pada Astro Arena.

Ditanya mengenai perlawanan menentang Selangor FC pada Ahad (23 Julai), Kim Swee berharap anak didiknya mampu mengulangi pencapaian ketika menentang Sri Pahang di Stadium Likas.

"Ya selepas ini kita akan beraksi dengan pasukan Selangor di Stadium MBPJ bukan satu perlawanan mudah.

"Kita tahu, namun dengan prestasi yang kita tunjukkan malam ini (Sabtu) saya harap kita mampu mengulanginya dan mendapatkan keputusan yang positif," ujarnya.

Sabah kini menduduki tangga kelima Liga Super selepas mengharungi 17 perlawanan dengan mencatatkan 10 kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan sekali gus mengumpul 33 mata di belakang Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram