EPISOD terakhir kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar berakhir dengan indah apabila skuad The Rhinos berpesta gol menumbangkan Sri Pahang FC 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Kesemua pemain The Rhinos seperti bermain bermati-matian untuk memberi penutup yang manis kepada jeneral tengah Sabah FC itu dan sekali gus mengesahkan tiga mata penuh untuk pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.
Kem Sabah FC mula bersorak apabila penyerang kebangsaan, Darren Lok membuka jaringan pertama seawal minit kesembilan selepas hantaran dari penyerang import baharu, Ramon Machado.
Sebelum babak pertama berakhir, penyerang Brazil, Ramon itu berhasil mencetak jaringan menerusi hantaran bantuan daripada Saddil Ramdani pada minit ke-43.
Menarik pada babak pertama, bahagian serangan Sabah FC menunjukkan ketajaman mereka dengan gandingan trio iaitu Saddil, Darren dan Ramon menjadi mimpi ngeri buat pasukan pelawat.
Bersambung pada separuh masa kedua, pemain warisan England-Malaysia, Darren hadir mencetak gol ketiga dan arkitek tengah, Stuart Wilkin menambah derita untuk Sabah FC pada aksi di Likas tersebut.
Darren menyumbang dua gol untuk Sabah FC. — Facebook/MFL
Dianggap sebagai perlawanan terbaik Sabah FC pada musim ini, penyokong The Rhinos gembira apabila semua barisan pemain Sang Badak berhasil memberi persembahan terbaik sempena penampilan terakhir Baddrol.
Bukan itu sahaja, gandingan duo penyerang iaitu Darren dan Ramon juga memberi impak positif di jentera serangan Sabah, selain dijangka bakal jadi mimpi ngeri buat pasukan lawan selepas ini.
“Semua main untuk beri kenangan manis untuk BB7, “ kata penyokong Sabah FC, Harith Adam.
“Lain dari yang lain permainan Sabah malam ini, hadiah buat Baddrol,” tambah seorang lagi penyokong, Morris Anjis.
“Gandingan dua penyerang yang mantap tambah lagi si Saddil. Kalau lama-lama main, harap makin menjadi corak permainan Sabah FC,” kata penyokong, Norman Jaws.
Dalam perlawanan itu juga, Baddrol diberi penghormatan untuk menyarung lilitan kapten. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram