'Ini hanya permulaan,' Popov laung amaran selepas benam Terengganu 7 tahun lalu


  • Podium
  • Isnin, 17 Jul 2023

Popov boleh dianggap sebagai salah seorang jurulatih import terbaik skuad TRW.

KELANTAN FC sekali lagi mencatatkan keputusan yang kurang memberangsangkan dalam Liga Super apabila tewas 0-5 kepada Johor Darul Takzim (JDT) ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Jumaat.

Keputusan berkenaan menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) terus buntu untuk membawa sebarang pulang mata dengan mereka kini berada di dasar carta liga selepas hanya mengutip empat mata selepas 16 perlawanan.

Bagi peminat setia bola sepak tanah air, masalah di luar padang menyebabkan kelab Pantai Timur itu tidak dapat menampilkan aksi terbaik, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah kehilangan hampir kesemua pemain import.

Situasi berkenaan pastinya cukup meruntun jiwa mereka memandangkan Kelantan FA pernah bergelar sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Super, lebih-lebih lagi ketika mereka bergelar pemenang treble pada 2012.

Jika diimbau semula, meskipun pernah berdepan kemerosotan pada pertengahan dekad yang lalu, keputusan yang dibuat pihak pengurusan kelab sering membuahkan hasil, termasuk dari segi pemilihan pemain serta ketua jurulatih.

Antara pengendali yang semestinya sukar dilupakan ialah Velizar Popov yang dibawa masuk pada 2016 selepas mencuri nama di tanah kelahirannya, iaitu Bulgaria serta beberapa negara lain sekitar Asia.

TRG_VS_KELANTAN___LIGA_SUPER_2016.transformed

Pertembungan antara Kelantan FA dan Terengganu FA sering mencuri tumpuan.

Dia yang ketika itu berusia 40 tahun dilantik bagi menggantikan jurulatih tempatan, K Devan dengan skuad TRW ketika itu berada di tangga keenam Liga Super dengan enam mata membezakan mereka dengan pasukan di tangga ketiga, Selangor FC.

Ketegasannya dalam membina sesebuah pasukan sering diberikan pujian penyokong Kelantan FA berdasarkan imej lantang yang sering ditunjukkannya di tepi padang bagi setiap perlawanan.

Namun, apa yang lebih sukar untuk dilupakan mengenai Popov adalah kebolehannya untuk merekodkan kemenangan cukup bermakna meskipun pasukan yang dikendalikannya tidak mempunyai bintang-bintang ternama.

Ini termasuk ketika Kelantan FA membawa pulang tiga mata berharga selepas membenam seteru terdekat, Terengganu FA dengan skor 6-1 sambil menegaskan ia hanya satu permulaan buat skuad TRW kira-kira tujuh tahun lalu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 15 Julai 2016, penyerang kelahiran Macedonia, Baze Ilijoske menjaringkan empat gol sambil Wander Luiz dan Wan Zack Haikal Wan Noor turut membawa pulang satu gol peribadi masing-masing.

Meskipun keputusan tersebut boleh dianggap sebagai kemenangan terbesar mereka, Popov jelas mengharapkan anak-anak buahnya tidak terbuai di samping menegaskan masih terdapat pelbagai perubahan perlu dibuat untuk meningkatkan tahap semasa skuad TRW.

Namun, kejayaan yang direkodkan jurulatih itu tidak dapat mengekalkannya di Kota Bharu apabila rundingan berkaitan lanjutan kontrak tidak dapat menemui kata persetujuan dengan tampuk kepimpinan kelab ketika itu dipegang bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Popov kemudiannya memilih untuk ke Thailand demi kelangsungan karier sementara Kelantan FA memilih untuk melantik Zahasmi Ismail pada penghujung 2016 sebelum mereka berdepan isu kewangan sehingga menyaksikan mereka tersingkir ke kancah Liga Perdana beberapa musim kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram