Vida dan Erfan mungkin kecewa, Zamsaham u-turn tak jadi jual TRW


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Vida dilihat duduk bersebelahan Zamsaham ketika aksi TRW tersungkur di laman sendiri. — Facebook

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman dan ahli perniagaan muda, Erfan Akif berkemungkinan terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki kelab berpangkalan di Pantai Timur The Reds Warriors (TRW).

Kedua-dua individu tersebut sudah boleh mengangkat bendera putih selepas pemilik semasanya, Norizam Tukiman dijangka tidak akan menjual Kelantan FC sekiranya penyokong masih mahukannya menguruskan bekas naib juara Liga Perdana musim 2021 itu.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, menjelaskan pendiriannya itu sebagai menjawab soalan seorang penyokong di laman Facebooknya, yang mahu dia kekal menerajui Kelantan FC untuk tempoh semusim lagi.

"Kalau ramai masih mahukan saya 'lead', Insya-ALLAH saya takkan jual Kelantan FC," katanya menerusi laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Dalam pada itu, menerusi hantaran Facebook berlainan, Zamsaham turut mengesahkan tiada lagi tunggakan gaji selepas semuanya sudah dilunaskan minggu lepas.

"Gaji dah bayar minggu lepas. EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pun bayar. Kalau rezeki saya lebih, tentu saya akan bayar tepat pada masanya. Saya tak mahu lewat-lewat sebenarnya," jelasnya.

WhatsApp Image 2023-07-15 at 18.46.06

Zamsaham juga kini lebih sering memantau para pemainnya. — Facebook/TRW

Sebelum ini kemelut dalaman yang dihadapi Kelantan menyebabkan penyokong berharap agar TRW bertukar takuk kepimpinan dan sejak itulah nama Hasmizah ataupun lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida itu menjadi antara individu yang berminat untuk memiliki semula pasukan tersebut.

Selain bekas penaja Kelantan pada musim 2016 itu, pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan turut menyatakan minat membeli skuad TRW.

Proses perbincangan masih lagi berlangsung dan kedua-dua pihak itu juga dilaporkan turut sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) bersama Zamsaham baru-baru ini.

Ketika perlawanan TRW kalah di tangan Johor Darul Takzim (JDT), 0-5 di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat, dikejutkan dengan kehadiran Vida dan Erfan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram