Belum cukup genius, 5 tip buat Ifedayo-Moses jika mahu kekal pikat hati fans Sang Kenari sampai bila-bila


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Ifedayo Olusegun mula mempamerkan taring bersama Kedah pada pusingan kedua Liga Super 2023. — Facebook/KedahFC

KEMENANGAN kedua berturut-turut diraih pasukan Kedah FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini jelas menunjukkan semangat serta daya saing yang tinggi dimiliki barisan pemain kelab tersebut.

Dengan jentera serangan Sang Kenari yang berwajah baharu ketika ini, kemasukan Ifedayo Olusegun pada jendela kedua perpindahan pemain nyata memberikan kelainan buat anak-anak buah Nafuzi Zain pada cabaran kali ini.

Meraih kemenangan 3-1 menewaskan Kelantan United di hadapan penyokong sendiri, penyerang import baharu itu turut menyumbang dua gol pada minit ke-55 dan ke-74 sebelum gol ketiga dijaringkan Amirbek Juraboev (86).

Selain Ifedayo, seorang lagi watak penting yang memainkan peranan besar dalam peningkatan prestasi ini adalah Moses Atede yang beraksi di posisi tengah pasukan.

Diturunkan dalam kesebelasan utama pemain, keputusan Nafuzi Zain yang mencuba gandingan duo itu di bahagian serangan pasukan membuahkan hasil dalam dua perlawanan setakat ini.

atede

Moses Atede antara tonggak utama Kedah pada saingan kedua Liga Super 2023. — Facebook/KedahFC

Mula dijadikan sandaran peminat bola sepak Sang Kenari, gandingan itu diharapkan mampu terus membawakan kejayaan berganda buat pasukan tersebut.

Namun, jaringan besar serta kemenangan sahaja belum cukup untuk memikat hati penonton yang masih mahu melihat perkembangan pemain tersebut dalam beberapa siri perlawanan lagi.

Majoriti senaraikan lima tip buat kedua-dua pemain import berkenaan untuk terus disanjungi dan diminati penonton Kedah.

1. Jelamaan Baddrol Bakhtiar — Khyril Muhymeen

Skuad Kedah sebelum ini pernah memiliki gandingan terbaik yang dianggap sebagai duo emas satu ketika dahulu.

Merupakan sebahagian daripada skuad 'double treble' pada 2007 dan 2008, namun malang buat Khyril Muhymeen apabila kecederaan lutut yang dialami membuatkan prestasinya kian merudum dan tidak sama seperti dahulu.

Duo ini akhirnya berpisah pada 2014 dengan Khyril kini beraksi di saingan Liga M3 bersama Harini FC manakala Baddrol pula di Sabah FC.

Dengan kehadiran duo baharu iaitu Ifedayo dan Moses Atede, diharapkan mereka mampu menyamai rekod cemerlang seperti kedua-dua bekas pemain ikonik berkenaan dengan ia diyakini mampu terus menjadi sandaran peminat sekiranya persembahan bermutu tinggi terus dipamerkan.

2. Konsisten menang setiap perlawanan

Setakat dua perlawanan diturunkan bersama, Kedah berhasil untuk meraih tiga mata penuh dengan Ifedayo turut tersenarai sebagai penjaring ketika menentang PDRM FC dan Kelantan United pada Jumaat.

Namun, dua perlawanan masih belum cukup untuk pemerhati bola sepak menilai tahap keserasian mereka yang disifatkan masih dalam tempoh percubaan bersama Kedah.

Ifedayo yang terkenal dengan gaya permainan agresif, perlu terus mengasah skil ketika di hadapan pintu gol agar tidak mensia-siakan hantaran mahupun lorongan daripada Moses Atede.

Sekiranya mampu menyumbang gol dalam lima perlawanan berturut-turut, ia mungkin boleh memberi bayangan betapa Kedah bakal muncul selaku pencabar terkuat untuk merebut tempat teratas liga sebelum tamat saingan musim ini.

3. Bantu Kedah layak ke Piala Asia

Sang Kenari yang kini berada di kedudukan keempat carta liga, masih berpotensi untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala AFC pada musim depan dengan hanya dua pasukan teratas boleh ke saingan tersebut.

Berkongsi 34 mata bersama dua lagi kelab di atasnya iaitu Sri Pahang FC dan Selangor FC, peluang masih terbuka buat Sang Kenari beraksi di peringkat Asia dengan syarat, perlu terus mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan berikutnya.

Untuk rekod, Kedah pada musim lalu gagal meneruskan cabaran di kejohanan itu selepas terkandas pada peringkat separuh akhir Zon Asean selepas tewas 1-2 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar, di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

kedah-vs-visakha-kda-fc-1536x864

Kedah mara ke pusingan kalah mati Piala AFC 2022 selepas menewaskan kelab dari Kemboja, Visakha FC dengan keputusan 1-5 di Stadium Kapten I Wayan Dipta. — Facebook/KedahFC

4. Setia bersama Kedah

Kesetiaan merupakan satu perkara yang amat dititikberatkan peminat dalam setiap pemain yang menyarung jersi Hijau Kuning.

Meskipun hanya berstatus import, kedua-dua pemain di posisi penyerang itu diharapkan untuk kekal beraksi selama mungkin bersama Kedah sekiranya ingin terus menambat hati penonton di negeri Jelapang Padi.

Sebelum ini, pemergian Baddrol Bakhtiar yang berhijrah ke Sabah FC nyata meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat penyokong selepas 16 tahun pemain itu kekal beraksi bersama Kedah bermula 2005.

Dengan rekod cemerlang dipamerkan sepanjang bergelar pemain Kedah, belum ada mana-mana pemain lain lagi yang mampu menewaskan ataupun menyamai pencapaian terbilang Baddrol Bakhtiar setakat ini.

5. Julang kejuaraan bersama Kedah

Dalam sesebuah kejohanan, tiada perkara lain yang dimahukan selain daripada kejuaraan serta genggaman trofi yang menjadi buruan setiap pasukan.

Justeru, untuk seseorang individu itu terus mendapat tempat di hati penonton, pemain wajar memberikan kejuaraan buat pasukan dengan Ifedayo dan Moses Atede perlu merealisasikan impian tersebut.

Pusingan kedua yang baru sahaja bermula menyaksikan Kedah masih mempunyai masa depan cerah untuk mendaki ke tempat yang lebih selesa dalam kedudukan carta liga.

Johor Darul Takzim (JDT) yang jauh meninggalkan kelab lain di bawah, dilihat kian sukar untuk dikejar oleh mana-mana pasukan dengan kelab Harimau Selatan itu berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan dalam 17 perlawanan dengan 51 mata keseluruhan dimiliki setakat ini.

Namun, dalam dunia bola sepak, tiada apa yang mustahil dan segalanya bergantung kepada tahap konsistensi dan semangat juang dipamerkan ketika beraksi dalam tempoh 90 minit di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram