PERAK FC akhirnya berhasil menamatkan badi kekalahan selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super minggu ke-17 di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Ahad.
Kali terakhir skuad The Bos Gaurus (TBG) meraih tiga mata penuh pada perlawanan menentang Kelantan FC pada 28 April lalu, dan apa yang lebih menarik ia merupakan kemenangan sulung di bawah kendalian Yusri Che Lah.
Dua jaringan tercipta dicetak menerusi tandukan dari kapten TBG, Luciano Guaycochea dan gol kemenangan hadir daripada penyerang sayap kanan, Seo Seonung pada minit ke-80 permainan.
Meskipun cerita indah dilakar di gelanggang tuan rumah pada aksi tersebut, namun kem skuad Seladang diuji dengan keputusan tidak adil dari pengadil perlawanan terhadap insiden yang menimpa tonggak tengah, Syukri Baharun.
Pada babak kedua perlawanan, Syukri yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-88 diterjah keras oleh pemain sayap Kuching City, Zahrul Nizwan Joe Kifli @ Zulkeflee sehingga difahamkan pemain berusia 24 tahun berkemungkinan mengalami kecederaan Ligamen Anterior Cruciate (ACL).
Lebih menimbulkan kemarahan barisan pemain termasuklah pengendali Perak FC, Yusri adalah tindakan pengadil perlawanan, Mohd Faisal Ridzuan yang tidak melayangkan sebarang kad kepada pemain The Cats itu.
Bukan hanya penyokong TBG menimbulkan rasa tidak puas hati, malah rata-rata pengikut Liga Malaysia (Liga M) juga semakin terbuka mempersoalkan mutu pengadilan yang semakin lama menjadi 'duri dalam daging' bola sepak tanah air.
"Seram, Tak perlu VAR (video bantuan pengadil) untuk buat keputusan kerana berlaku ketika pengadil berhampiran bola dimainkan, kecuali pengadil masalah mata," kata laman penyokong, MalayanTigerfans.
"Syukri baru sembuh dari kecederaan dan terpaksa berdepan dengan terjahan sebegitu rupa, kasihan Syukri. Dia patutnya boleh menyinar musim ini. Pemain yang melakukan tackle adalah satu hal dah tetapi apa yang difikirkan oleh pengadil? Jelas perlu kad layang merah!," kata pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran.
Syukri yang baru melakukan penampilan pertama pada aksi di Kuching itu terpaksa berehat lama lagi sekiranya bekas pemain Melaka tersebut disahkan mengalami kecederaan ACL ekoran terjahan tersebut.
Untuk rekod, Syukri sebelum ini ditimpas masalah kecederaan Median Collateral Ligament (MCL) pada lutut kirinya.
Menerui satu potongan video telah dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bobie Farid Shamsudin pada laman Facebook, TBG Super Fans pada Isnin, Syukri keluar dari perkarangan hotel dengan berkerusi roda.
Dalam pada itu, Yusri juga sempat memberi kata-kata semangat kepada anak buahnya itu untuk terus bersabar dengan dugaan tersebut, selain menghargai sumbangan Syukri untuk perlawanan di Kuching itu.
“Perancangan ALLAH itu lebih baik daripada perancangan kita. Kadang-kadang ALLAH menghalang perancangan kita itu untuk menguji kesabaran kita dan ALLAH akan memberi yang lebih baik daripada apa kita harapkan. Sabar itu indah.
“Saya menghargai sumbangan kami membantu pasukan pada malam ini. ‘Come back stronger’ Syukri, saya akan sentiasa berada di belakang kamu," katanya menerusi laman Insta Story miliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram